JANNA Nick
JANNA Nick
Oleh Najiy Jefri


PELAKON Janna Nick yang mengecapi kemenangan menerusi kategori Artis Versatil Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-32 mengakui bersyukur dengan usaha keras peminat setianya.

Bagaimanapun, Janna menyifatkan kualiti yang diberikan sepanjang bergiat aktif dalam industri seni belum cukup menyakinkan hingga dinobatkan dalam kategori terbabit.

“Saya langsung tidak menjangkakan kemenangan ini. Ia usaha keras dan penat lelah peminat yang sentiasa ingin melihat saya berjaya.

“Saya ingin berterima kasih kepada kelab peminat Janna Nicker yang sentiasa menyokong penuh setiap karya yang saya jayakan.

“Walaupun menang, tetapi kualiti saya dalam bidang nyanyian, lakonan dan pengacaraan belum boleh dibanggakan.

“Ada banyak lagi kelemahan yang perlu saya perkemaskan dan menjadi anak seni yang berkualiti. Saya harap kemenangan ini akan menyuntik lebih semangat untuk saya terus bekerja,” katanya.

Menurut menerusi kategori itu, Janna menewaskan empat calon lain iaitu Alif Satar, Mira Filzah, Siti Nordiana, dan Zizan Razak.

Menurut Janna, tidak berkira soal bayaran dan merebut setiap peluang yang diberikan membuatkan dia terus berjaya mengekalkan populariti sehingga hari ini.

Katanya, dia tidak meletakkan nilai yang tinggi bagi setiap tawaran yang datang.

“Barangkali kemenangan ini disebabkan saya tamak merebut semua peluang yang ada selain tidak ‘demand’ dengan harga tawaran.

“Walau tidak dibayar dengan harga yang tinggi, janji muka saya banyak dan bersepah. Itu mungkin formula yang berjaya membuatkan saya terus bertahan,’ katanya.

Perniagaan

Melihat perniagaan yang diusahakan semakin laris, Janna mengakui ia adalah sumber pendapatan tambahan untuk persiapkan diri pada masa depan.

“Saya jadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan tambahan. Ia tidak bermakna bidang lakonan gagal memberi pendapatan lumayan. Cuma, duit berlakon banyak dihabiskan untuk membeli baju dan perhiasan.

“Jadi, pendapatan daripada bisnes saya simpan untuk masa depan. Mana tahu nanti saya patah kaki atau tangan sehingga tidak boleh berlakon, sekurang-kurangnya saya ada duit simpanan,” katanya.

Tambah Janna, meskipun pendapatan perniagaan yang diusahakan melebihi bayaran lakonan, tidak bermakna dia sudah kaya dan tidak perlu aktif berlakon lagi.

“Alhamdulillah, sepanjang tiga tahun saya memasarkan produk, boleh dikatakan pendapatan daripada bisnes melebihi bidang lakonan.

“Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya banyak duit. Saya juga perlu bayar keperluan lain seperti komitmen rumah dan kereta secara bulanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 5:10 AM