HAZAMI, Ifa Raziah mahu tonjolkan bakat nyanyi untuk terus bersaing di Terpaling Juara.
HAZAMI, Ifa Raziah mahu tonjolkan bakat nyanyi untuk terus bersaing di Terpaling Juara.
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Hazami yang popular dengan genre R&B menyifatkan peluang diberikan oleh juri tetap, Datuk Hattan untuknya kekal bersaing dalam program realiti Terpaling Juara ibarat diberikan satu nyawa.

Menurutnya, dia akan memanfaatkan peluang ini untuk memberikan persembahan terbaik selepas tampil dengan persembahan kurang memuaskan menerusi lagu Mas Mona pada Ahad lalu.

"Saya tahu sama ada langit itu tinggi atau rendah dan saya juga tahu kelebihan dan kekurangan saya. Justeru saya kena cari apa yang saya patut buat dan penyelesaiannya.

"Untuk tiga minggu ini saya memang ikut cara kapten Akim Ahmad. Saya dah berbincang dengan Akim untuk minggu keempat nanti akan cuba cara saya sendiri.

"Dia pun kata buatlah apa nak buat. Kerana sebelum ini saya ikut cara dia. Akim sebenarnya seorang yang serba boleh dan ada keistimewaan sendiri," katanya.

Hazami berkata, dia tidak melihat persembahannya menerusi lagu Mas Mona satu kegagalan.

"Saya amat sukakan Datuk Jeffrydin. Saya tetap 'enjoy' menyanyi walaupun lagu yang bukan 'forte' saya. Kita jangan takut dengan bayang-bayang sendiri.

"Kita juga jangan takut dengan keupayaan dan kelemahan. Semua manusia ada kelebihan dan kelemahan. "Itu bukan genre kegemaran saya tapi saya mencabar diri sendiri buat yang di luar kebiasaan. Cuma kalau nak tahu, saya seorang yang tidak boleh menyanyi dengan iringan muzik penuh dan lebih suka minimalis," katanya.

Dalam masa sama, Hazami tidak menafikan dia kembali kepada sikap lamanya iaitu kurang keyakinan seperti awal menceburi bidang seni.

"Mungkin saya balik kepada perangai lama kerana orang kata apabila kita dah tua, kita balik kepada perangai dulu-dulu.

"Bila dah berumur mungkin saya rasa tidak yakin dengan kebolehan sendiri. Tapi kena ingat, saya sertai pertandingan yang bukan 'forte' saya. Saya nak jadikan ini kekuatan saya," katanya.

Sementara itu, Datuk Hattan memberi amaran kepada Hazami dan seorang lagi peserta senior, Ifa Raziah jika berterusan mempamerkan persembahan mengecewakan.

"Kita nak kualiti macam Shaz (peserta bintang baharu) sekurang-kurangnya. Sedap nyanyiannya.

"Ini dua-duanya orang lama. Lagu AJL (Anugerah Juara Lagu ) susah mana nak belajar. Tanggapan orang lagu AJL bagilah sesuatu. Kalau budak-budak muda adalah juga kelemahannya kerana mereka tak berapa kenal lagu ini.

"Tapi kita yang membesar dengan lagu ini, janganlah. Hazami sebelum ini penyanyi yang bagus," katanya.

Menurutnya, dia jujur dalam memberikan komen dan mengetepikan elemen kawan-kawan.

"Kalau bagus saya kata bagus dan kalau tak bagus, jawapannya tak baguslah. Kawan tetap kawan tapi tak boleh buat apa-apa," katanya.

Mengulas pendiriannya untuk mengekalkan mereka untuk minggu berikutnya, Hattan berkata, ada sebab mereka dikekalkan.

Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten, Akim, Hael Husaini dan Naim Daniel yang merupakan penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik yang berbakat besar serta pemilik trofi Juara Lagu di anugerah paling berprestij untuk membimbing seorang penyanyi senior dan seorang penyanyi junior untuk menjayakan persembahan mingguan daripada #playlistAJL iaitu lagu popular yang pernah tercalon di semua edisi Separuh Akhir Muzik Muzik dan AJL.

Program ini disiarkan secara langsung setiap Ahad dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 6:40 AM