SELAIN penyanyi legenda, Naim bimbing orang baru dalam program Terpaling Juara
SELAIN penyanyi legenda, Naim bimbing orang baru dalam program Terpaling Juara
Sudirman Mohd Tahir


PROGRAM baharu terbitan TV3, Terpaling Juara bakal menampilkan tiga juara Anugerah Juara Lagu (AJL) yang mana mereka dipilih sebagai kapten kepada enam peserta yang bertanding.

Tiga pemenang AJL itu ialah Naim Daniel (AJL34), Hael Husaini (AJL32 & AJL33) dan Akim Ahmad (AJL30).

Naim, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, dia sama sekali tidak menjangka dipilih daripada barisan pemenang AJL yang lain seterusnya membimbing peserta seorang dalam kalangan penyanyi legenda dan seorang lagi peserta daripada sesi uji bakat.

"Sebenarnya saya tak menjangkakan yang program ini saya perlu menjadi nakhoda untuk beberapa orang. Bila dapat tahu saya menjadi kapten dan kapten lain antaranya adalah Akim Ahmad dan yang lain semuanya senior.

"Saya diminta untuk berkongsi sesuatu atau buat konsep yang sesuai dengan mereka. Mungkin juga untuk membantu memberikan nafas baharu dalam persembahan mereka. Saya pun seorang yang suka bereksperimen dengan hasil kerja dan saya pun terima.

"Ini pertama kali saya dipertanggungjawabkan untuk menguruskan orang baharu di bawah saya. Saya tahu ia akan memberi tekanan, tapi saya percaya semua peserta agak santai dan menerima kehadiran saya. Saya berasakan ini adalah satu peluang yang baik untuk saya cuba beri apa yang termampu. Program Terpaling Juara ini memang program yang sangat seronok," katanya.

Menurut Naim yang muncul juara menerusi lagu Sumpah, jika diberi pilihan dia mahu menjadi kapten kepada penyanyi Rahmad Mega yang juga antara peserta dalam kalangan penyanyi legenda.

"Saya rasa abang Rahmad orang yang menyimpan 'taring' sebenarnya. Tapi, bila dah diberi tanggungjawab ini saya akan buat sebaik mungkin. Saya akan cuba fokus sebaik mungkin.

"Saya percaya apa-apa pun kita mesti saling memahami sebab ini adalah program pertandingan. Tekanan daripada penonton ada, daripada pasukan juga ada. Jadi, ia satu perkara yang bagus.

"Insya-Allah saya masih disayangi golongan berusia. Saya pun tahu macam mana nak bercakap dengan mereka. Harapnya mereka juga dapat menerima sebarang idea yang disampaikan," katanya.

Dalam masa sama, Naim berharap pemilihannya sebagai kapten dapat diterima baik walaupun usia pembabitan dalam bidang nyanyian masih dianggap baharu.

NAIM dipilih menjadi kapten dalam program Terpaling Juara.
NAIM dipilih menjadi kapten dalam program Terpaling Juara.

"Kita menjalani proses pembelajaran, jadi tak kisah kita berapa lama dalam industri sebab setiap hari kita akan dapat benda baharu. Jadi, mereka akan menerima sesuatu dan saya pun akan menerima sesuatu. Saya rasa seni itu perkara yang seronok dan saya tak nak ia menjadi beban kepada mereka," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kesediaan dikritik juri tetap iaitu Datuk Hattan dan Fauziah Latiff, Naim mengakui dia sebenarnya perlu mempersiapkan diri untuk menerima komentar daripada netizen.

"Saya rasa kritikan juri itu perkara yang tidak asing lagi, tapi saya nak lebih bersedia dengan komentar daripada netizen itu sebenarnya. Kalau kita dah cuba merancang sebaik mungkin pun, tapi akhirnya pasti ada perkara yang kurang juga.

"Saya tak nak menjadikan ia sebagai alasan asalkan apa yang kita buat itu sampai kepada penonton, jadi ia tak ada masalah. Kritikan daripada juri pun saya rasa perlu sebab nak bertanding lama jadi saya harap boleh tambah baik lagi daripada hari ini. Jadi, saya akan ambil itu sebagai peluang untuk gilap lagi apa yang boleh," katanya.

Program Terpaling Juara mula bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral, Shah Alam, esok jam 9 malam.

Hos program ini menampilkan Haziq Hussni dan Shiha Zikir.

Sementara itu, Naim juga bakal muncul dalam drama bersiri 10 episod berjudul Project High Council.

"Kami ada baki dalam beberapa minggu lagi untuk penggambaran. Penggambaran kami selama 50 hari untuk 10 episod.

"Selain itu, selepas dua tahun saya dan Dolla akan menjalankan penggambaran muzik video pada September depan dan lagu semua dah siap. Saya cuma tak sabar nak berkongsi dengan semua orang. Insya-Allah, lagu ini akan dikeluarkan tahun ini juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 6:00 AM