BARISAN penyanyi yang akan bertanding pada GV9.
BARISAN penyanyi yang akan bertanding pada GV9.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Program realiti popular, Gegar Vaganza (GV) kembali dengan musim kesembilan apabila menyaksikan 13 orang penyanyi hebat bakal berentap bagi merebut gelaran juara.

13 penyanyi yang bakal menjadi pertaruhan edisi kali ini terdiri daripada enam penyanyi solo lelaki, enam penyanyi solo wanita dan satu penyertaan berkumpulan.

Enam bintang solo wanita yang memberi saingan kali ini ialah Dina Nadzir, Pat Candy, Tom, Haida Hasnan, Shila Amzah dan Jaclyn Victor. 

Sementara itu, senarai penyanyi solo lelaki yang turut menyahut cabaran musim ini ialah Roy Kapilla, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Bob Yusof, Tomok dan Asheed. 

Bagi penyanyi berkumpulan pula diwakili oleh VE yang dianggotai oleh Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.

GV9 masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem per markahan 100 peratus daripada barisan juri profesional.

Barisan juri tetap terdiri daripada maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.

Edisi kali ini akan dikendalikan pengacara musim terdahulu iaitu Nabil Ahmad dan pelakon popular Elly Mazlein.

Konsert mingguan GV9 akan mula bersiaran secara langsung dari MBSA selama 10 minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam bermula 18 September ini dan dipancarkan secara eksklusif menerusi Astro Ria.

Juara GV9 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 11:01 PM