Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker memuji usaha penghasilan filem Anak Rimau The Movie yang menjalani penggambaran dalam tempoh mencabar pada era pandemik Covid-19.

Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd bukan sekadar berlatarkan sukan bola sepak, malah mengangkat semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak.

Lian Ker berkata, beliau menyokong penuh usaha pasukan produksi Anak Rimau atas kecekalan menerbitkan filem itu.

"Ini satu cabaran hebat bagi pelakon dan kru Anak Rimau The Movie dapat menghabiskan penggambaran filem walaupun diuji dengan pandemik. Proses penggambaran filem dijayakan dengan dedikasi dan memiliki sifat kepimpinan tinggi. Aspek ini juga ditanam dalam mesej utama filem Anak Rimau The Movie iaitu memberi inspirasi kepada anak muda mencapai cita-cita sebagai pemain bola sepak demi Malaysia," katanya ketika ditemui pada Malam Gala Filem Anak Rimau The Movie di pusat beli-belah terkemuka, di sini, malam tadi.

Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020 terpaksa ditangguhkan berikutan penularan Covid-19, namun mendapat sokongan beberapa penaja.

Ia juga dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara itu, penerbitnya Fadzil Manap berkata, beliau berharap menerusi karya yang dipaparkan dapat memupuk generasi muda untuk melakukan perubahan dalam hidup dan berusaha mengejar impian.

"Saya percaya Anak Rimau The Movie mampu memberi impak, pengaruh dan gaya pemikiran masyarakat. "Tujuan pembikinan filem ini bukan saja memberi semangat kepada anak muda, tetapi bertindak sebagai medium pendidikan, informasi dan hiburan bagi membantu membina asas kukuh untuk transformasi Malaysia," katanya.

Anak Rimau The Movie mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari AMD, Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy.

Filem ini menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan pelakon terkenal, Beto Kusyairy, Azhan Rani dan Adam Corrie.

Ia turut dibintangi Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD seperti Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.

Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang, iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam.

Disifatkan satu kisah menyentuh hati yang mengetengahkan nilai kekeluargaan, keputusan sukar, integriti dan persahabatan, majlis pelancaran filem Anak Rimau The Movie turut selari dengan Bulan Kemerdekaan, sekali gus menyuntik semangat patriotik dalam kalangan rakyat serta kejohanan Piala Dunia 2022 yang akan bdermula November ini.

Anak Rimau The Movie memaparkan kisah sekumpulan anak muda berbakat tinggi dalam dunia bola sepak yang terdiri daripada pelbagai kaum ketika menyertai Akademi Bola Sepak Malaysia (Anak Rimau Academy).

Mereka mengharungi pelbagai cabaran sebagai individu dan berpasukan ketika menghadapi fasa baru dalam dunia bola sepak.

Filem Anak Rimau The Movie bakal menemui penonton di pawagam bermula 1 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 5:08 PM