SEMBANG Viral bersama panel jemputan iaitu Ustaz Amin, Caprice dan Rosyam (kiri) sebagai hos.
SEMBANG Viral bersama panel jemputan iaitu Ustaz Amin, Caprice dan Rosyam (kiri) sebagai hos.
HM Digital

MENJADI trend masyarakat kini untuk berkongsi aktiviti harian, berita, gambar dan video di platform media sosial. Malahan, kuasa tular di media sosial juga dilihat sebagai strategi pemasaran yang paling berkesan.

Justeru program Sembang Viral diperkenalkan oleh TV9 pada 13 September 2021 bertujuan membincangkan isu-isu tular yang dikongsikan netizen di media sosial daripada perspektif Islam secara santai bersama dengan ahli panel jemputan.

Mulai 1 Ogos 2022, Sembang Viral kembali dengan musim baharu dan bersiaran pada setiap Isnin, jam 10:30 malam di TV9.

Dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor, program berdurasi 30 minit ini menampilkan ahli panel jemputan yang terdiri daripada pendakwah bertauliah, peguam syarie dan pakar motivasi serta selebriti jemputan yang sesuai dengan topik yang dibincangkan.

Untuk musim baharu ini, Sembang Viral memperkenalkan segmen baharu 'Netizen Tanya' di mana Rosyam akan membacakan soalan-soalan netizen berkaitan isu agama dan kehidupan menerusi laman media sosial rasmi TV9 iaitu @TV9Malaysia.

Ahli panel jemputan akan memberikan penjelasan dan merungkai persoalan itu berdasarkan fakta dan panduan yang betul.

Episod pertama akan membincangkan topik 'Mempersendakan Agama' bersama-sama dengan ahli panel jemputan iaitu Ustaz Amin (Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim) dan Caprice.

Sejak disiarkan di TV9, Sembang Viral berjaya mencuri perhatian penonton dan menerima sambutan yang sangat memberangsangkan. Ia mula bersiaran sebagai kapsul berdurasi 10 minit sebanyak 154 episod dan juga mempunyai edisi khas 6 episod selama satu jam di bulan Ramadan lepas yang diberi nama Sembang Viral Mega.

Saksikan Sembang Viral Musim Ke-2 di TV9 dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV9, layari http://www.xtra.com.my/ dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 6:47 AM