MYRA Natasya. FOTO Arkib NSTP
MYRA Natasya. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Myra Natasya menyifatkan dirinya bertuah kerana berkebolehan menguasai bahasa Mandarin dengan baik sekali gus menjadi kelebihan dalam bidang yang diceburinya.

Myra, 27, berkata, dia mempelajari bahasa Mandarin sejak di tadika dan seterusnya di tahun satu hingga enam.

"Dengan apa yang ada, saya bergelar jurulatih sukan sorak yang agak asing dalam kalangan orang Melayu yang diceburi sejak lapan tahun lalu.

"Saya mengajar sukan sorak pun dalam bahasa Mandarin. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya mengajar kelas 'online' untuk pelajar-pelajar Melayu bertutur dalam Mandarin sebagai bahasa orientasi kedua. "Saya juga buat Didik TV secara langsung dalam bahasa Mandarin. Masa uji bakat, mereka tanya apa kebolehan saya dan saya cakap saya boleh buat 'live show' dalam Mandarin," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kebetulan ketika itu pengacara program itu cuti bersalin selama tiga bulan dan dia menggantikan tempatnya untuk beberapa episod Didik TV live Mandarin.

Myra yang memiliki syarikat sendiri sejak setahun lalu secara berkongsi bersama dua rakan akan membuka studio gimnastik pada Disember ini di Subang Jaya.

Dia bersyukur kerana rezekinya tidak terhadap kepada berlakon dan mengacara saja.

"Saya sekarang sibuk menjalani penggambaran drama 24 episod di Awesome TV dan selepas ini ada supertele. Alhamdulillah, bulan ini ada tawaran mengacara, kempen produk dan sebagainya. Rezeki masuk dari pelbagai cabang.

"Semuanya berkat doa keluarga saya kerana saya dibesarkan dengan seorang ibu tunggal. Saya anak pertama dan ada empat adik beradik. Saya menggalas tanggungjawab yang besar. Keluarga saya bukan keluarga senang dari kecil kena jaga diri sendiri dan bantu mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 3:07 PM