AMELIA anggap kelakar apabila status kewarganegaraan pernah dipersoalkan.
AMELIA anggap kelakar apabila status kewarganegaraan pernah dipersoalkan.
Oleh Norhayati Nordin


MENJADI selebriti pada era dunia tanpa sempadan ini sememangnya mencabar. Kecaman demi kecaman daripada netizen di media sosial adalah lumrah.

Walaupun cuba untuk tidak mempedulikannya, tempias tetap terpalit juga.

Itulah dilalui pelakon dan pengacara jelita berdarah campuran India di sebelah ibu dan Scotland di sebelah bapa, Amelia Thripura Henderson, 24, yang pernah dipersoalkan status warganegaranya.

Menganggap ia perkara melucukan, pelakon drama Pengantin 100 Hari dan Jangan Benci Cintaku di TV3 ini berkata, dia memahami situasi pengaruh media sosial kini yang menjadi tumpuan netizen untuk komen, kritik dan kecam.

“Namun, apabila membabitkan status warganegara dipersoal, saya berasa ia perkara sangat kelakar. Kenapa ada segelintir netizen yang berani bertindak sejauh ini?

AMELIA Henderson. FOTO: Mohamad Shahril Badri Saali
AMELIA Henderson. FOTO: Mohamad Shahril Badri Saali

“Apa masalah mereka sehingga sanggup melakukan perkara tidak masuk akal dan minta saya tunjukkan passport semata-mata untuk mengetahui taraf kewarganegaraan saya,” katanya.

Menurut model terkenal yang mula berlakon sekitar 2006 ini, dia benar-benar tidak faham mengapa kecaman tidak berasas sebegitu perlu diwujudkan segelintir netizen.

“Seperti tak ada benda lain nak kecam saya dengan asyik mempersoalkan status warganegara. Saya minta tolong hentikannya.

“Memang tak ada apa-apa pun yang perlu dipersoalkan kerana sehingga kini rekod saya bersih. Tidak ada yang perlu dibincangkan mengenai status kewarganegaraan saya,” katanya.

Amelia yang mengembangkan kerjaya seninya sebagai pengacara sejak 2009 berkata,

dia sentiasa cuba berhadapan kecaman netizen secara tenang dan tidak terlalu ambil peduli.

Mengulas mengenai penguasaan bahasa, Amelia berkata, biarpun dia fasih berbahasa Inggeris dan Malaysia, kemahirannya masih kurang.

“Sebenarnya, golongan muda masa kini wajar ambil peluang belajar menguasai lebih daripada dua bahasa kerana sangat membantu memudahkan komunikasi dengan ramai orang.

“Saya sendiri berasa rugi kerana tidak belajar bahasa Mandarin ketika bersekolah dulu. Terus terang, saya sangat kagum dengan kebolehan adik dalam kemahiran bahasa. Suka saya lihat dia (adik) boleh berkomunikasi dengan baik dan lancar dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin. Kebolehan adik sangat membanggakan saya,” katanya.

Menurut Amelia, dia menggesa remaja di negara ini mencari peluang untuk mempelajari kemahiran mendalami pelbagai bahasa untuk jaminan masa depan lebih baik.

Pilih mengacara dan berlakon

Jiwa yang sudah sebati dengan aktiviti mengacara dan berlakon membuatkan Amelia enggan melepaskan setiap peluang diperolehnya dengan mudah.

Katanya, berlakon dan mengacara adalah minat. Jadi, kini dia perlu bijak mengatur jadual kerja supaya dua bidang itu mampu bergerak seiring.

“Sekarang, memang fokus dan komitmen saya diberikan sepenuhnya sebagai pengacara rancangan Dewi Remaja 2019 yang sudah membuka tirai persaingan.

“Diakui ia peluang keemasan buat saya apabila mendapat kepercayaan pihak produksi untuk menjadi pengacara tahun ini. Saya perlu bersungguh-sungguh membuktikan bakat dimiliki.

“Saya tidak boleh ambil mudah dan perlu teliti dengan apa dilakukan. Tugas sebagai pengacara rancangan bukan mudah terutama untuk umumkan penyingkiran peserta,” katanya.

Amelia berkata, cabaran buatnya juga untuk berhati-hati sepanjang mengacara terutama dalam sebutan. Katanya, dia tak boleh nampak pelat ketika bertutur bahasa Malaysia.

Mengulas mengenai lakonan, Amelia berkata, dia mencari peluang untuk mendapatkan tawaran berlakon telefilem ketika ini berbanding drama bersiri.

Katanya, komitmen pada pengacaraan kini menyebabkan dia perlu menolak tawaran drama dan mungkin boleh beri tumpuan pada berlakon telefilem.

“Saya sedia meneliti tawaran projek berlakon drama pada masa akan datang untuk watak sesuai dan menarik yang membolehkan saya berlakon dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 5:20 AM