Zainal Abidin.
Zainal Abidin.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Zainal Abidin masih lagi berpegang dengan prinsip di mana, konsert percuma menghilangkan nilai seseorang artis.

Zainal berkata, dia juga tidak menafikan bahawa konsert percuma umpama sudah menjadi satu tradisi di Malaysia.

"Sebenarnya, konsert percuma menghilangkan nilai seseorang artis. Walaupun penonton datang dan bayar seringgit atau dua ringgit, itu menunjukkan bahawa artis itu masih ada nilai.

"Tapi, oleh kerana tradisi Malaysia, ia umpama sudah menjadi kebiasaan untuk mengadakan konsert percuma daripada pemerintah sendiri, sehinggalah acara-acara anjuran stesen TV," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi yang bakal membuat persembahan di Konsert Setia Live Out Loud pada 3 September itu nanti, walaupun sesuatu konsert itu diadakan secara percuma, artis masih lagi menerima bayaran.

"Macam mana kita perjuangkan sekali pun, ia tak dapat dielakkan kerana pemain-pemain besar (penganjur) ini ada wang yang banyak dan sanggup membayar sejumlah bayaran.

"Sebagai artis, kita tetap mendapat habuan kita dan nilainya tidaklah menyakitkan hati. Bukanlah bererti, kalau konsert itu percuma, artis takkan dapat bayaran.

"Kalau konsert yang diadakan adalah konsert berbayar, artis pun bukanlah mendapat bahagian daripada penjualan tiket atau apa, tetapi lebih kepada rasa diri itu ada nilai," katanya.

Konsert Setia Live Out Loud diadakan secara percuma kepada pelanggan hartanah Setia serta orang awam.

Konsert yang akan berlangsung di Setia EcoHill Mall, Semenyih itu membariskan penyanyi hebat tanah air antaranya Zainal, Nicholas Teo, Priscilla Abby, Hael Husaini dan Santesh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 3:12 PM