Zahir Kelvin Ong Abdullah
Zahir Kelvin Ong Abdullah
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Semalam, saya pun terkejut ketika Ras (Senator Datuk Ras Adiba Radzi) berkongsi berita kehilangan Zalina Azman."

Demikian kata personaliti TV dan pengacara program Money Matters, Zahir Kelvin Ong Abdullah ketika diminta mengulas mengenai berita kehilangan rakan sejawatnya itu.

Kelvin ketika dihubungi berkongsi, Zalina adalah individu yang begitu menjaga privasi kehidupan peribadinya.

"Selepas berhenti dari TV3, dia lebih banyak menyepi dan menjaga privasi kehidupan peribadinya. Tapi, itu perkara biasa sebab saya pun melakukan perkara sama selepas berhenti," katanya kepada Harian Metro.

Kelvin juga memaklumkan bahawa kali terakhir dia dihubungi Zalina adalah pada September 2020.

"Ketika itu, dia keluar minum teh dengan Ras dan pada waktu itulah mereka menghubungi saya. Itu kali terakhir kami berbual di telefon.

"Kalau bertemu secara berdepan, rasanya kali terakhir dah lebih 10 tahun lalu. Memang dah sangat lama saya tak berjumpa dengannya," katanya.

Pernah bergandingan sebagai pengacara dalam program Money Matters sekitar tahun 1990-an, Kelvin berkata, semua yang bekerja di bilik berita TV3 umpama satu keluarga.

"Saya menyertai TV3 pada 1991 dan mula bergandingan dengan Zalina sebagai pengacara Money Matters dari 1997 hingga 2000.

"Pada era 1990-an, bilik berita TV3 kecil. Jadi, kami yang bekerja di sana memang rapat umpama keluarga.

"Harapan saya, semoga urusan untuk mencari Zalina dipermudahkan dan dia dapat pulang ke rumah dalam keadaan baik," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis sedang mencari Zalina yang hilang sejak November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga Zalina, 58, berhubung kehilangannya pada 29 November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 6:35 PM