RUMAIZI ketika sidang media. FOTO ihsan MBI
RUMAIZI ketika sidang media. FOTO ihsan MBI
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Penubuhan semula PINCER MBI Studio di bawah kendalian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di negeri ini disasarkan menjadi hab industri kreatif digital utama negara dan sekali gus menarik pasaran antarabangsa.

Datuk Bandar Ipoh merangkap Pengerusi PINCER MBI Studio Sdn Bhd, Datuk Rumaizi Baharin berkata, bangunan bernilai RM20 juta yang sudah dibaikpulih itu diyakini mampu pergi lebih jauh dalam perkembangan industri perfileman negara.

"Untuk makluman, di Malaysia yang ada studio digital adalah kita (Ipoh, Perak), Cyberjaya, Selangor dan Pinewood di Johor.

"Jadi, studio kita di sini (PINCER MBI Studio) akan memberi fokus kepada industri kreatif digital," katanya pada sidang media selepas hadir menyampaikan sumbangan RM100 kepada 31 anak anggota MBI dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran PINCER MBI Studio Sdn Bhd di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PINCER MBI Studio Sdn Bhd, Kah Fee Yee @ Thong.

Rumaizi berkata, sehubungan itu pihaknya melantik satu lagi syarikat bagi menguruskan program yang akan dilaksanakan oleh studio berkenaan dalam merealisasikan ke arah mewujudkan perniagaan besar dalam industri kreatif itu.

Katanya, PINCER MBI Studio Sdn Bhd adalah syarikat swasta yang ditubuhkan pada 17 Mac lalu bagi menguruskan semula semula Studio PINCER di Meru Raya yang sudah terbiar sejak 2018.

"Kita melihat model yang terdahulu tidak salah, kita melantik satu lagi syarikat untuk menguruskan acara dan pengurusan PINCER MBI Studio nanti.

"Jadi, apabila kita pergi kepada fokus pelan perniagaan yang betul, saya rasa ia adalah perniagaan besar yang silap-silap boleh mencapai sehingga bilion ringgit sekiranya kita boleh menarik industri luar seperti China, Indonesia dan negara jiran Asia Tenggara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif itu sebahagian daripada perancangan MBI untuk memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan bandar menerusi elemen 'Bandar Kesenian.'

"Saya yakin Studio PINCER ini akan menjadi pusat sehenti seni kepada pengkarya seni di Malaysia mahupun luar negara kerana industri kreatif yang merangkumi pelbagai elemen seni harus menjadi syarat utama bagi mewujudkan sebuah bandar maju sebagai bandar kesenian.

"Saya juga percaya sekiranya Studio PINCER dibaik pulih semula dan menambah keperluan seperti kamera dan sebagainya, ia pasti menarik warga penggiat seni dari dalam dan luar negara menggunakan perkhidmatan yang disediakan,"katanya.

Sementara itu, Fee Yee berkata, studio kini masih dalam proses baikpulih dan dan dijangka siap dalam tempoh sebulan setengah lagi.

Menurutnya, pihaknya juga turut merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan Media Prima Berhad dalam usaha mempergiatkan lagi industri seni melalui studio berkenaan.

"Kami merancang untuk menerbitkan lebih banyak filem dan drama tempatan di Studio PINCER.

"Oleh kerana itu kami merancang untuk mengadakan kerjasama dengan Media Prima," katanya.

Katanya, selain itu, mereka juga merancang untuk memperhebatkan lagi industri animasi dalam negara.

"Kami sudah berjumpa dengan pihak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan lawatan tapak akan dilakukan mereka pada Mei depan," katanya.

Studio PINCER yang terletak di Meru Raya dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di bawah projek Taman Teknologi Tinggi Perak (PHTP) dengan menelan kos sebanyak RM20 juta pada 2011.

Antara fasiliti yang terdapat pada studio berkenaan adalah layar hijau, studio kreatif, perkhidmatan khusus dalam pengeluaran muzik, rakaman suara, rakaman multimedia dan perkhidmatan audio.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 12:15 PM