Pelakon drama The Maid 2, Sherry Alhadad. FOTO Hazreen Mohamad
Pelakon drama The Maid 2, Sherry Alhadad. FOTO Hazreen Mohamad
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pengacara popular, Sherry Alhadad mengakui belum bertemu teman istimewa di sebalik kesibukan kerjayanya.

Sherry atau pemilik nama penuh Shariffah Mariam Syed Abdullah Alhadad, 37, berharap dipertemukan jodoh dengan individu yang menerima dirinya seadanya dan bukan nama pentasnya semata-mata.

"Kalau diikutkan saya memang sibuk dengan kerja kebanyakan masa, sampaikan saya pernah berkata kepada teman rapat, jika ada teman lelaki pastinya dia sudah meninggalkan saya kerana terlalu sibuk.

"Malah, 'circle' saya juga membabitkan orang yang sama saja dan kebanyakan masa diluangkan bersama ibu dan keluarga. Jadi hendak bertemu dengan jodoh yang bukan daripada 'circle' bukan sesuatu yang mudah.

"Apatah lagi, saya juga sebenarnya seorang yang 'simple' saja. Jika tiada kerja atau sebagainya, saya lebih selesa dengan baju biasa tanpa solekan.

"Jadi, kalau boleh biarlah individu yang ingin bersama saya itu menerima saya kerana diri sebenar dan bukanlah Sherry Alhadad yang sudah diulit populariti dan bidang seni," katanya.

Sherry mengulas mengenai kisah peribadinya ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri The Maid 2 yang bertempat di The Agam, Sungai Penchala, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut mengenai bentuk tubuh yang semakin langsing, Sherry berharap dapat mengekalkan rutin yang sedang diamalkan demi kesihatannya.

"Mungkin ada yang tidak tahu, saya sejak dulu lagi memang bertubuh gempal. Namun, saya mengambil pendekatan untuk menurunkan berat badan demi kesihatan memandangkan usia semakin meningkat.

"Tidak kira bertubuh gempal atau sebagainya, saya tetap 'confident' dengan diri. Jadi, saya juga ingin menerapkan konsep yang sama kepada semua di luar sana untuk mempunyai keyakinan yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 12:45 PM