TIZ dan Jalaluddin melakonkan watak anak beranak dalam siri Liar.
TIZ dan Jalaluddin melakonkan watak anak beranak dalam siri Liar.
Sudirman Mohd Tahir


ASTRO Shaw mendapat lesen hak cipta drama siri 'thriller' yang tercalon di Bafta Awards dan British Screenwriters' Awards, Liar untuk adaptasi ke dalam format Malaysia melalui produksi All3Media International.

Liar adalah idea asal daripada calon penerbit dan penulis skrip terbaik di Bafta and Golden Globe, Harry dan Jack Williams. Hasil usaha sama ini turut membabitkan Double Vision sebagai produksi yang akan menghasilkan Liar.

Produksi Double Vision yang banyak menghasilkan karya hebat seperti pencalonan TV Format Adaptasi Terbaik (Skrip) di The ContentAsia Awards, The Bridge juga memainkan peranan penting dalam mendapatkan hak cipta adaptasi ini.

Liar yang diarahkan Jason Chong dan Imri Nasution menampilkan barisan pelakon antaranya Tiz Zaqyah, Tony Eusoff, Ezzaty Abdullah, Datuk Jalaluddin Hassan, Wan Raja, Nadiya Nissa, Nazrief Nazri dan Nas-T.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya teruja untuk menghasilkan drama siri premium yang akan diadaptasi daripada siri terbaik antarabangsa untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia.

"Kami percaya usaha bersama produksi Double Vision ini bukan saja mampu memberi percaturan berbeza buat landskap industri seni tempatan, tetapi turut melihat kerjasama strategik bersama All3Media International dapat memperkukuhkan keupayaan Astro sebagai platform yang menghasilkan karya dengan hasil produksi berkualiti tinggi serta berada di landasan yang tepat untuk mendominasi arena antarabangsa menerusi drama premium terbitannya.

"Sementara itu, kami juga ucapkan terima kasih kepada produksi Double Vision kerana memainkan peranan penting dalam usaha sama ini dan kami teruja untuk bekerjasama mereka," katanya.

EZZATY sebagai kakak kepada Tiz dalam Liar.
EZZATY sebagai kakak kepada Tiz dalam Liar.

Sementara itu, Naib Presiden, APAC All3Media International, Kit Yow berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak Astro dan Double Vision bagi dalam menghasilkan drama premium adaptasi daripada naskhah hit antarabangsa itu.

"Subjek konflik lelaki dan wanita yang diketengahkan membuktikan mampu menyuntik keterujaan dalam kalangan penonton yang mengikuti siri ini, dan kami percaya keupayaan Astro serta produksi Double Vision bersama barisan pelakon mampu mempersembahkan sesuatu yang berbeza sekali gus memberi pengalaman berbeza kepada penonton Malaysia," katanya.

Diterbitkan oleh Two Brothers Pictures untuk ITV dan Sundance TV pada 2017, Liar mengangkat genre 'thriller' yang meneroka tema persefahaman, stereotaip jantina zaman masa kini, kekeluargaan serta penipuan.

Drama hebat ini berjaya meraih jumlah tontonan paling tinggi iaitu tujuh juta, sekali gus mencatatkan jumlah terbesar bagi drama baharu yang pernah ditonton di ITV sejak 2014.

 JASON (dua dari kiri) pengarah siri Liar.
JASON (dua dari kiri) pengarah siri Liar.

Selain itu, drama ini juga ditayangkan di Australia dan New Zealand, manakala versi pembikinan semula atau 'remake' di Sepanyol pada 2020 menggunakan judul Mentiras.

Terkenal dengan jalan cerita yang penuh plot twist dan watak yang menonjol sehingga berjaya mencetus keterujaan dalam kalangan penonton untuk menantikan setiap episod, Liar mengisahkan mengenai dua insan yang bertemu dalam sebuah janji temu, namun semuanya berubah di luar jangkaan pada hari keesokannya.

Seorang memperdaya manakala seorang lagi diperdaya. Oleh sebab kuasa, penipuan mampu memadamkan kebenaran.

Liar bakal bersiaran sebanyak 12 episod dan ditayangkan di saluran Astro Citra, setiap Isnin bermula 21 November tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 6:30 AM