Kuala Lumpur: Pemenang Anugerah Grammy, Billie Eilish, 20, bakal mengadakan konsert sulung di Malaysia pada 18 Ogos ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini. 

Konsert dinamakan Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 itu dianjurkan Live Nation Malaysia.

Sejak mencipta nama pada sekitar 2015, Eilish yang mempertaruhkan genre muzik elektro pop indie terus mencipta fenomena. Malah, albumnya juga meraih kejayaan luar biasa.

Paling membanggakan apabila dia menang besar di Anugerah Grammy 2020 dengan membolot empat trofi utama iaitu Rakaman Terbaik, Album Terbaik, Lagu Terbaik dan Artis Baru terbaik.

Kemenangannya sudah dijangka berikutan fenomena diciptanya. Eilish tidak dinafikan artis muda paling berpengaruh di seluruh dunia ketika ini.

Albumnya When We All Fall Asleep, Where Do We Go? pada 2019 serta-merta menduduki tangga pertama di Billboard 200 Amerika Syarikat (AS).

Tidak ketinggalan di 17 negara lain dan menjadi album paling banyak penstriman sepanjang tahun itu.

Kejayaan karyanya juga banyak dibantu abangnya Finneas selaku penerbit dan pencipta lagu-lagunya.

Live Nation Malaysia memaklumkan penjualan tiket akan bermula esok hingga 27 Jun nanti. Tiket berharga RM308, RM408, RM508 dan RM598 boleh dibeli menerusi laman web www.livenation.my.

Selain Malaysia, penyanyi lagu Bad Guy itu akan turut singgah di beberapa negara jiran sepanjang Ogos ini termasuk Filipina, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 10:33 AM