Kuala Lumpur: Kehadiran penyanyi, Adira di sisi madunya, Datin Seri Syarifah Nor Shafila atau dikenali sebagai Datin Red menjawab tanggapan segelintir pihak yang mana hubungan mereka tidak baik.

Adira yang juga isteri kedua kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu dilihat hadir di tanah perkuburan ketika ibu Datin Red meninggal dunia, Isnin lalu.

Menerusi hantaran di Instagram, Datin Red turut mengucapkan terima kasih pada madunya itu.

"Pemergian yang tiada ganti. Terputuslah doa seorang ibu untuk anak-anaknya. Terima kasih kepada semua adik-beradik, saudara-mara, suami dan madu yang ada ketika suka dan duka.

"Terima kasih juga pada yang menziarah, mengucapkan takziah, mendoakan dan yang menyempurnakan hingga selesai pengebumian bonda saya," katanya.

Adira dan Adnan berkahwin pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Perkahwinan Adnan bersama Datin Red pula dikurniakan lima anak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 4:30 PM