Pelakon Amar Asyraf
Pelakon Amar Asyraf

Kuala Lumpur: Teka-teki perkahwinan kali ketiga pelakon Amar Asyraf dengan wanita bernama Farhana Yusof seakan terjawab apabila wanita itu kini memasarkan produk House of Al-Amar milik pelakon terbabit.

Menerusi Facebook Farhana Yusof pada 23 Mei lalu, isteri ketiga pelakon drama Setia Hujung Nyawa ini mempromosikan produk minyak kasturi kijang keluaran suaminya kepada pembeli.

Malah, Farhana turut menulis kenyataan sinis yang ditujukan kepada warganet.

"Kasturi kijang by House of Al-Amar ni banyak khasiatnya. Setakat nak tepis kata-kata nurtizen (netizen) takde hal la," tulisnya yang turut disertai emoji ketawa.

Manakala di ruangan komen, beberapa rakannya memberi kata-kata semangat buat Farhana agar kuat berdepan kecaman masyarakat.

Terdahulu selepas kes cerai talak tiga dengan isteri keduanya selesai, nama Amar kembali menjadi tumpuan apabila didakwa sudah berkahwin kali ketiga.

Spekulasi itu bermula apabila tular foto mesra dia dengan seorang wanita dikenali sebagai Farhana mengenakan busana berwarna putih.

Foto yang dimuat naik pada 19 Mac lalu itu dipercayai daripada Instagram milik ibu kepada Amar.

Amar, 35, bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila enggan mengiyakan atau menafikan berhubung status rumah tangganya.

Menurutnya, keutamaan kini diberikan terhadap kesihatan mentalnya berbanding kepentingan untuk memberi penjelasan kepada umum berhubung isu yang timbul.

"Tiada keperluan sebenarnya untuk saya jelaskan kepada umum berhubung status saya. Bagi saya, bukan nak merahsiakan tapi lebih memilih untuk privasi apabila membabitkan hal rumah tangga.

"Saya sebenarnya tak ada apa nak cakap atau beritahu apa-apa. Apa yang terjadi sebelum ini memberi pengajaran kepada saya. Jadi, saya mengambil pendekatan tidak mahu berkongsi apa-apa mengenai kehidupan peribadi. Kalau ada yang tahu, tahulah.

"Lagipun, saya berpegang dengan kata-kata beberapa ulama yang beritahu tak boleh kongsi usia, harta dan kisah keluarga kepada umum," katanya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 1:58 PM