Netizen anggap Fattah belum layak hasil buku. FOTO HM
Netizen anggap Fattah belum layak hasil buku. FOTO HM
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : "Mereka hanya membaca tanpa berfikir maksud tersirat."

Demikian jawapan pelakon Fattah Amin mengenai buku 99 Kata-Kata #Qalifmoden Fattah Amin yang menjadi tular dan dikecam sebahagian besar netizen di laman sosial sejak dilancarkan kelmarin.

Usaha Fattah itu dikecam sesetengah pihak kononnya dia tidak layak untuk menghasilkan buku selain kata-kata yang ditulis itu tidak berunsur ilmiah.

Ada juga yang berpendapat sumbangan Fattah terhadap industri hiburan tanah air belum cukup hingga melayakkan dia menghasilkan buku yang boleh memberi inspirasi kepada peminat.

Fattah ketika dihubungi berkata, netizen hanya menilai pada kata-kata yang diungkapkan tetapi tidak berfikir panjang mengenai makna yang ingin disampaikan dalam buku itu.

"Setiap kata-kata dalam buku itu berkaitan dengan kehidupan saya yang asalnya bukan sesiapa. Bak kata pepatah Inggeris, ‘from zero to hero’," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fattah, tujuannya menerbitkan buku itu ialah kerana ingin berkongsi tips, kata-kata positif, nasihat dan impian untuk dia terus belajar menjadi insan yang sempurna dan berguna.

"Selain itu, saya juga mahu memberi inspirasi terutama kepada adik-adik kecil untuk membesar dengan baik dan meletakkan impian dan strategi untuk berjaya dalam hidup," katanya.

Antara kata-kata dalam buku itu yang tular dan dikecam ialah "Aku dulu selalu berangan nak gi KLCC nak bawak kereta aku sendiri dan parking valet. Ternyata kini telah termakbul hahaa...kelakar kan” dan “Aku susah nak gelak, tapi bila dah gelak susah nak berhenti... Hahahah kan aku dah gelak!”

Ditanya mengenai maksud kata-kata itu, Fattah berkata, apa yang dia cuba sampaikan ialah dulu dia hanya remaja biasa yang ada impian.

“Dulu saya selalu ke KLCC menaiki motosikal. Apabila melihat orang lain membawa kereta dan parkir di valet, saya juga menyimpan impian itu kerana tidak semua orang mampu.

"Jadi, mesej yang cuba disampaikan adalah saya sebenarnya kena berusaha lebih untuk menjadi orang yang hebat. Impian lalu adalah sumber inspirasi kepada saya,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 6:37 PM