Black Dog Bone
Black Dog Bone
Riadz Radzi

 

Kuala Lumpur: Ketika merakamkan lagu Cahaya Aidilfitri pada 1978 di Singapura, kumpulan Black Dog Bone langsung tidak tahu ia sebenarnya lagu raya. 

Penyanyi dan pemain drammya, Jatt berkata, ketika itu mereka diminta penerbit album dan komposer, S Atan untuk masuk studio merakamkan bahagian muzik lagu yang baru diciptanya itu. 

"Kami pun tak bertanya dengan dia ia lagu apa. Kami cuma buat kerja dan rakam lagu seperti biasa. 

"Bila sudah siap bahagian muzik, S Atan kemudian meminta kami sekali lagi ke studio untuk rakaman vokal. Waktu iti barulah terima lirik daripada penulisnya, Allahyarham Haron Abdul Majid dan barulah kami tahu ia adalah lagu raya," katanya kepada Harian Metro.  

Mereka dimaklumkan lagu itu akan dimuatkan dalam album kompilasi lagu-lagu raya terbitan syarikat rakaman EMI.

Ketika proses rakaman, Jatt tahu ia adalah lagu sedih yang menceritakan mengenai kesedihan orang kelainan upaya (OKU) dan anak yatim piatu menyambut Aidilfitri, namun tidak merasakan apa-apa, apatah lagi mengharapkan lagu itu akan terus diminati untuk jangka masa lebih 40 tahun akan datang.  

Bagaimanapun, Jatt dan Black Dog Bone mula merasakan 'kesan' lagu itu apabila mereka ditawarkan bermain di kelab di Belanda pada tahun yang sama selama enam bulan. 

"Selepas tiba di sana, kami sudah tidak ambil tahu mengenai lagu itu. Tidak lama kemudian, Ramadan tiba dan kami juga terpaksa menyambut Aidilfitri di sana. Kemudian kami menerima surat dan piring hitam album itu daripada keluarga mengatakan ia sudah dimainkan di stesen radio di Singapura dan Malaysia. Ia mendapat sambutan baik dan kami gembira.

"Waktu itu baru dapat rasakan kesedihan lagu itu. Ketika itu raya dah dekat dan kami di perantauan dan berjauhan dengan keluarga," katanya. 

Jatt berkata, hingga hari ini sesiapa saja yang berjumpa dengannya akan mengatakan lagu Cahaya Aidilfitri adalah lagu paling sedih. 

"Ramai yang kata kalau tak dengar lagu ini, tak boleh nak raya," katanya yang tak pernah menyangka lagu itu terus 'evergreen' hingga hari ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 12:29 PM