Alif bermesra bersama anak Yasmin (gambar kiri). Alif dan Yasmin makin intim (gambar kanan)
Alif bermesra bersama anak Yasmin (gambar kiri). Alif dan Yasmin makin intim (gambar kanan)
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Saya cuba usahakan kalau ini jodoh." Demikian kata pelakon, Alif Hadi ketika diminta mengulas mengenai hubungannya dengan pelakon, Yasmin Hani yang mula menjadi bualan ramai sejak kebelakangan ini.

Alif, 34, ketika dihubungi berkata, dia dan Yasmin bagaimanapun masih dalam fasa perkenalan memandangkan Yasmin juga baru sahaja melalui proses penceraian pada tahun lalu.

"Apa yang boleh saya katakan, kami masih lagi dalam proses perkenalan. Saya tak boleh nak komen terlalu mendalam sebab saya kena hormat dia, anak-anak, serta keluarganya.

"Dengan anak-anak Yasmin, saya dah kenal, tapi rasanya jauh lagi perjalanan saya untuk rapat dengan mereka. Tapi, setakat ini, saya dah berjumpa dengan ibu bapanya juga," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai reaksi keluarga Alif, dia bersyukur kerana keluarganya menerima sebarang keputusan dan ketentuan yang sudah tertulis untuknya.

"Dari pihak keluarga saya, mereka terima kalau ini sudah ditentukan, sudah tertulis dan diizinkan Allah. Benda ini takkan jadi tanpa izin-Nya.

"Kalau ini jalannya, kata mereka, usahakanlah. Apa pun, saya mengharapkan agar ada hasil yang terbaik dalam hubungan ini," katanya.

Alif dan Yasmin sudah lama mengenali antara satu sama lain, namun, mula rapat sejak beberapa minggu lalu.

Yasmin sebelum ini pernah berumah tangga dengan Sha'arin Razali selama 10 tahun sebelum disahkan bercerai. Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Noah Ismail Wong, 9, dan Eissa Elzander Wong, 6. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 7:13 PM