Ayu tak mampu menahan sebak.
Ayu tak mampu menahan sebak.
Sudirman Mohd Tahir


Bangi: "Arwah bapa tak banyak kerenah. Paling tidak pun hanya minta belikan baju raya saja. Jadi setiap tahun memang kami akan beli baju raya. Kalau tak sempat, saya akan kirim.

"Kali terakhir, saya terpaksa pos baju raya untuknya, warna biru. Arwah memang inginkan warna tema itu. Tapi tak boleh nak balik gara-gara pandemik Covid-19."

Demikian luahan penyanyi Ayu Damit berkenaan memori terakhir bersama arwah bapanya, Damit Osiri yang meninggal dunia akibat kanser otak tahap empat Julai tahun lalu.

Ayu, 33, atau nama sebenarnya Norayu Damit yang berkongsi perkara itu tidak dapat menahan air mata kerana terlalu rindukan arwah bapanya apatah lagi, tidak lama lagi hari raya Aidilfitri.

"Memang rasa rindu. Tiap kali tiba puasa, dia akan hubungi saya untuk tanya mengenai baju raya. Kali ini, sudah tak ada orang untuk bertanya. Tinggal mak saja yang tanya sekarang. Memang rasa tidak lengkap.

"Tak ada lagi orang yang akan 'bising'. Sebab kalau raya dia yang akan kecoh-kecoh," katanya.

Terdahulu, Ayu ditemui pada Majlis Iftar Hotel Tenera Bersama Media yang bertemakan Balik Kampung, di sini, semalam.

Menurut Ayu, dia juga tidak berpeluang berpuasa bersama keluarga di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah tahun lalu susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

"Tahun lalu tak berkesempatan nak sambut puasa dengan arwah sebab PKP. Cuma sebelum itu, pada Mac saya dapat pulang ke kampung sekejap kerana ketika itu arwah kritikal dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

"Sebenarnya, bapa sempat membuat persiapan bagi meraikan hari raya bersama anak-anak tahun lalu. Banyak yang dia siapkan, misalnya pasang lampu raya. Tapi, saya tak boleh balik. Agak sedihlah sebab ketika itu pun dia sudah sakit.

"Bapa tanya mak, mana Ayu. Mak hanya mampu cakap, kan PKP, mana boleh balik kampung naik kapal terbang. Itulah alasan yang diberikan kepada arwah. Rasa ralat," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 11:22 AM