Sofiatul Shima Wan Chik

Pelbagai bunyi dalam alunan ska disatukan dengan harmoni dan segar melalui santun dua vokal. Kumpulan yang mempertaruhkan serta senantiasa yakin dengan genre dan pilihan bunyi mereka ini dilihat melakar sejarah tersendiri dalam perjalanan seni muzik tanah air.

Sesudah berdepan dengan situasi bertukar-tukar ahli kumpulan, kini Gerhana SkaCinta bertemu kembali pada titik asal.

Dilihat seperti berdiam diri dan menyepi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semangat setiap anggota kini ditiup semula api marak untuk meneruskan perjuangan seni mereka melalui genre Ska, Rocksteady, Reggae dan Dub.

Kali terakhir Gerhana SkaCinta muncul dengan produk ialah pada 2007 iaitu kolaborasi bersama Nabila Huda, Salam Musik dan Altimet melalui lagu Sayang. Kali terakhir mereka muncul dengan album studio penuh melalui album Maju Haikal pada 2008.

Masih kekal dengan enam anggota asal, Ahmad Fairuz Fadzil (Fairuz), Mustafal Bakri Ismail (Bakri), Muhamad Rajab Md Dali (Rajab), Tuan Muhammad Rezal Tuan Ismail (Jalut), Edy J Herwan Hamzah (Edy) serta Widy Zalilawati Hamzah (Widy), mereka menafikan selama ini menyepi.

Menurut Edy, mereka masih aktif bersosial dan memenuhi ‘gig’ cuma berdepan dengan perubahan ahli sepanjang 2009 hingga 2014.

“Kini kami kembali dengan anggota asal untuk mengubat kerinduan peminat,” katanya.

Kolaborasi ini mengingatkan kita kembali dengan produk awal mereka, Skali Skale (2002), Boss Sounds (2002), The New Authentic (2004) dan This Is Ska (2007).

Keserasian yang sedia ada ini ditambah lagi dengan kehadiran dua anggota baharu, Farin Irwan Muhibbuddin (Farin) dan Siti Rafidah Razali (Farhana).

Sesuai dengan formasi asal yang membuahkan antusias baharu serta kerinduan masing-masing untuk bertemu peminat, Gerhana SkaCinta muncul dengan dua single baharu, Perusak Chenta dan Rindu. Proses rakaman dilakukan di Studio Bsync.

Untuk melengkapkan proses lagu itu, mereka menghantarnya ke Los Angeles untuk adunan oleh Roger Rivas, anggota kumpulan The Aggrolites.

Jelas Widy, Perusak Chenta mengisahkan individu yang tidak percayakan cinta dan turut dihasilkan video muziknya arahan Adam Bsync.

“Dari segi video muzik, kami inginkan sesuatu yang klasik dari segi visual. Klip ini diserikan lagi dengan kehadiran penyanyi dan penulis lagu popular, Liyana Fizi untuk melakonkan watak si ‘perusak chenta’,” katanya

Cukup klasik dan penuh elemen nostalgia, klip video itu antara lainnya mengembalikan ingatan khalayak ke zaman Tan Sri P.Ramlee menerusi Tiga Abdul. Lokasi penggambaran klip ini dilakukan di Studio Rentak 50, Angkasapuri, RTM.

Perancangan seterusnya selepas melancarkan single ialah ingin membuat jelajah di seluruh Malaysia dan berkemungkinan ke Indonesia.

Kata Jalut, buat masa ini tiada perancangan untuk membuat album kerana kos pembikinannya tinggi.

Jika sebelum ini Gerhana SkaCinta terikat dengan label rakaman, kini mereka mengambil keputusan untuk bergerak secara bebas.

Ternyata pengalaman lalu yang dilalui setiap anggota kumpulan ini membuatkan mereka nekad dengan keputusan yang diambil.

Bagi Jalut, tidak terikat dengan mana-mana label rakaman besar membuatkan mereka lebih selesa.

“Kami merasakan lebih senang begini daripada ditipu dan dirompak. Lebih baik kami mengambil jalan begini,” katanya dengan maksud tersirat.

Bagi yang mahu mengikuti perkembangan grup yang senantiasa memberi persembahan bertenaga, kreatif dan menarik ini, boleh mengikuti mereka menerusi laman Instagram di @gerhana_skacinta dan Facebook @gerhana skacinta.

Jalut berharap setiap rasa cinta yang sentiasa disebarkan grup ini secara gerhana atau sebaliknya terus dirasai oleh peminat muzik tempatan khususnya.

“Gerhana Skacinta sentiasa muncul dengan karya-karya yang kaya bunyi dan kreatif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:04 AM