Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi Ernie Zakri yang kini hamil tujuh bulan masih ligat dan gigih membuat persembahan, malah tetap mampu menyanyikan nada tinggi dengan baik.

Ernie, 29, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia hanya boleh menyanyi ketika di hujung trimester kedua.

"Alhamdulillah, ini adalah rezeki. Sebenarnya pada awal kehamilan dan trimester kedua memang tak boleh menyanyi langsung. Saya alami alahan muntah-muntah dan cepat penat.

"Tapi, apabila nak ke akhir trimester kedua saya sudah 'enjoy' kehamilan ini.

Itu sebab saya boleh ambil dan terima tawaran menyanyi. Lagi satu sebenarnya gian menyanyi sentiasa ada walaupun sudah hamil.

"Mungkin ada orang tak suka menyanyi ketika hamil, tapi saya lebih suka di atas pentas. Sebab tu tak nak tolak beberapa perkara. Saya fikir selepas ini akan cuti agak lama dalam dua bulan untuk berpantang. Jadi biarlah lepas geram dulu. Dalam masa sama keutamaan saya tetap menjaga kesihatan," katanya kepada Harian Metro.

ERNIE Zakri.
ERNIE Zakri.

Erni ditemui pada Malam Aspirasi Seni bersempena program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam ini.

Selepas selesai membuat persembahan, Ernie terus bergegas ke Shah Alam yang turut membuat persembahan pada Shopee 12.12.

"Saya bukan 'push limit', sebab saya tahu kalau 'push' akan 'flat', tak boleh bangun dan menyanyi pun. Tapi sebab ada penjagaan saya boleh susun. Dalam seminggu dalam dua persembahan saja. Jadi dapat rehat cukup. Macam malam ini ada dua persembahan secara langsung tapi sebab sudah rehat lama sebelumnya, jadi saya okay. Kena ada perancangan juga.

"Doktor pun cadangkan jangan kerja kuat. Tapi tidak ada masalah untuk kerja. Dia suruh banyakkan latihan dan jalan supaya senang bersalin nanti. Mgkin saya tidak ada latihan, tapi saya aktifkan diri. Kalau sebelum ni sangat lemah, baring saja dan tak nak 'online' media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 10:37 PM