AMEN Khalid
AMEN Khalid
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: "Saya bersyukur dengan sokongan ahli keluarga, sahabat abah, barisan pelakon dan krew akhirnya telefilem Kampung Pisang Berbuah 2 Kali selesai menjalani penggambaran sepenuhnya," kata anak lelaki Allahyarham Mamat Khalid, Mohamad Khalid Amen.

Dia yang lebih dikenali sebagai Amen Khalid, 25, berkata, penggambaran telefilem itu bermula pada 15 November dan berakhir 25 November lalu.

Menurutnya, penggambaran dilakukan di Teluk Senangin, Lumut dan Kuala Kangsar, Perak mengikut lokasi asal yang dirancang arwah bapanya.

"Dua minggu sebelum ayah meninggal dunia, arwah sempat menulis skrip dan dialog namun tidak siap sepenuhnya dan selebihnya berjaya diselesaikan oleh kami semua yang terbabit dalam telefilem ini.

"Berkat sokongan daripada ahli keluarga terutama mama, sahabat-sahabat papa, krew penggambaran dan pelakon akhirnya saya berjaya menyiapkan sepenuhnya telefilem yang diilhamkan oleh arwah papa," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Anjung Tradisi 3.0 - Lestari Warisan: Ekspresi Cinta Mamat Khalid Terhadap Tradisi Melayu di Sarang Art Hub, semalam.

Program anjuran Persatuan Anak Seni Sarang Malaysia (PASSM) bertujuan menyemarakkan kembali kepelbagaian dalam kesenian serta kebudayaan masyarakat.

Program itu juga bagi meneruskan kesinambungan usaha Allahyarham Mamat Khalid yang mengilhamkan Siri Anjung Tradisi dengan menganjurkan Program Anjung Tradisi diikuti Anjung Tradisi 2.0 - Bengkel Karangan Tanjak pada 2018 lalu.

Amen Khalid berkata, telefilem berkenaan masih mengekalkan cerita dan pelakon asal seperti yang arwah rancangkan iaitu Bell Nasri, Kazar Saisi, Aziz M Osman, Mat London, Ahmad Yassin dan Rashid Othman.

Katanya, pelakon lain yang membintangi telefilem itu ialah Lina Azman, Azman Naim, Wei Tien dan Nisha Anis.

"Pelbagai perasaan bercampur baur saya rasakan sepanjang menjalani penggambaran telefilem ini namun saya pendamkan perasaan itu kerana ingin buat sehabis baik untuk menyiapkan hasrat arwah papa sebelum pergi selamanya.

"Saya akui, saya tidaklah sehebat arwah namun berilah peluang dan sokongan kepada saya bagi meneruskan legasi hasil karya arwah dengan cara saya yang tersendiri," katanya.

Dia juga berharap peminat filem arwah sebelum ini terus memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan telefilem dalam mewarnai industri filem tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 1:08 PM