BEEGO bersama isteri, Linda, anak-anak dan ibunya, Roshidah Elias (tengah).
BEEGO bersama isteri, Linda, anak-anak dan ibunya, Roshidah Elias (tengah).
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Selepas 15 anggota keluarga Beego positif Covid-19, semalam ibunya, Roshidah Elias, 62, pula disahkan positif virus itu.

Perkembangan terbaru ini menyaksikan bilangan keluarganya di Johor yang positif Covid-19 bertambah kepada 16 orang.

Beego, 40, atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah berkata, jangkitan berlaku selepas ibu menjaga neneknya, Jamilah Mohd Amin yang berusia 80 tahun serta ahli keluarga lain yang positif wabak itu sebelum ini dan menjalani kuarantin di rumah.

"Selepas nenek, mama pula positif semalam. Mama berkorban demi menjaga ibunya (nenek) dan akhirnya dia pula positif.

"Namun, saya bersyukur apabila keadaan nenek sudah beransur pulih sekarang. Sekurang-kurangnya saya lega dengan berita ini. Mama kini positif tahap satu tapi saya dan isteri risau kerana kami sekarang berada di Terengganu untuk urusan kerja. Sudah lebih sebulan keluarga kami di sini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sebagai langkah berjaga-jaga mereka menghantar bekalan oksigen dan barang-barang perubatan lain.

"Langkah segera dan proaktif ini kami ambil kerana sepupu saya yang positif sebelum ini mengalami penurunan oksigen tahap paling rendah. Saya minta semua pihak mendoakan semua ahli keluarga saya selamat," katanya.

Beego berkata, mereka turut menganjurkan majlis bacaan Yassin secara maya sebagai ikhtiar kesembuhan buat ahli keluarga yang terkesan dengan Covid-19 pada 2 September lalu.

Terdahulu, Beego memaklumkan 15 anggota keluarganya yang berada di Johor Bahru disahkan positif Covid-19 pada 28 Ogos lalu.

NENEK Beego, Jamilah.
NENEK Beego, Jamilah.

Selain nenek, ibu saudaranya, Rosnani, Rozita, Roszana dan bapa saudara, Zulkarhisham turut positif virus itu.

Turut positif ialah sepupunya, Nazirah Syakirin Samiran yang hamil tujuh bulan serta sepupu berusia tiga dan empat tahun.

Beego berkata, semua mereka bukanlah tinggal serumah.

"Ada satu kawasan tiga keluarga dan ada juga yang tinggal di tempat lain. Tapi, hubungan kekeluargaan memang rapat, namun yang pasti tak tahu dari mana datangnya jangkitan ini.

"Mungkin ada mana-mana individu yang bertemu dengan ahli keluarga saya dan dari situlah mula tersebarnya jangkitan.

"Nenek yang sudah lengkap vaksin hanya mengalami gejala sakit tekak. Kebanyakan ahli keluarga saya sudah mendapat dua dos vaksin. Jadi, apabila positif, mereka pada tahap satu dan dua," katanya.

Menurut Beego, ibunya sudah lengkap dua dos vaksin.

"Pakcik saya kuarantin di rumah lain. Yang lain-lain hanya kuarantin dalam bilik kerana mengalami batuk. Mama berada di bahagian luar bilik sebab nak kena jaga makan minum mereka yang kuarantin. Selepas itu dia mengadu mula sakit-sakit tekak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 3:31 PM