NORLIA sudah 50 tahun aktif sebagai pelakon.
NORLIA sudah 50 tahun aktif sebagai pelakon.
Norhayati Nordin


Pembabitan lima dekad atau 50 tahun bertahan dalam industri seni bukan mudah. Namun, ia satu pencapaian boleh membanggakan pelakon veteran berkaliber seperti Norlia Ghani, 73.

Meskipun bayaran lakonan diterimanya tidak sehebat 'artis lama luar negara' yang harga lebih tinggi berbanding bakat baharu, namun Norlia tetap bersyukur kerana masih ada rezeki.

"Saya berlakon kerana minat dan alhamdullilah Allah pinjamkan sedikit bakat. Jadi, selagi saya ada peluang mendapat tawaran berlakon dengan bayaran sesuai, apa salahnya diterima.

"Pada usia emas begini dan sejak dari dulu lagi, saya tidak pandai bersikap terlalu 'demand'. Malah, saya masih sanggup ke lokasi berlakon sampai sekarang pun kerana rezeki," katanya.

Norlia yang juga ibu pelakon dan pengarah Rusdi Ramli berkata, dia juga sudah terbiasa bekerja selama ini serta berdikari. Apatah lagi katanya, dia seronok berada di lokasi penggambaran.

"Selagi kesihatan saya mengizinkan memang akan terus berlakon. Namun, sekarang ini pun saya hanya terima tawaran 'shooting' di Kuala Lumpur serta Selangor yang mana saya boleh pergi dan balik kerja ke rumah setiap hari.

"Dengan usia begini, saya pun dah tak selesa terima 'job shooting' yang lama jika lokasinya di luar ibu kota. Apa pun, saya berterima kasih kepada produksi yang masih beri tawaran dan terima harga diminta," katanya.

Begitu pun, baru-baru ini siapa sangka Norlia masih berdepan gosip apabila dia dikatakan masih 'gedik' mengharapkan tawaran lakonan meski sudah terlalu berusia.

Mengulasnya, Norlia berkata, dia yang tahu mengenai gosip itu, tapi tidak mahu terlalu melayan. Jelasnya, apa yang diperoleh itu adalah rezeki daripada Allah SWT yang sudah ditetapkan.

"Saya memang tak mahu melayan perkara begini (gosip). Bukan apa, saya tak mahu jadi 'viral' (tular). Lagipun, saya dah tua dan tak sesuai terkait gosip atau isu hingga viral di media sosial," katanya.

Norlia yang sangat popular dengan watak Joyah menerusi drama popular Opah pada 1980-an berkata, dia hanya mahukan ketenangan dalam kelangsungan hidupnya ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 6:07 AM