Norlia Ghani
Norlia Ghani
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON veteran, Norlia Ghani, 71, gembira kerana dapat berlakon semula selepas tiga bulan 'menganggur' akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP) lalu.

Norlia ketika dihubungi berkata, hari ini dia mula menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Keluarga Pasar arahan Azmi Hatta.

"Alhamdulillah, sudah lama saya tunggu detik untuk kembali berlakon dan kini sudah jadi kenyataan. Perasaan teruja saya sukar digambarkan. Paling bermakna apabila saya dapat bekerja untuk cari rezeki sendiri.

"Ketika PKP, saya jadi hilang punca kerana bergantung sepenuh masa kepada lakonan dan tiada pendapatan lain seperti berniaga atas talian," katanya kepada Harian Metro.

Menerusi drama ini, Norlia melakonkan watak Nek Kasih, manakala pelakon lain yang terbabit antaranya ialah Watie Elite, Azri Iskandar dan Amyza Adnan.

Pelakon yang dikenali sebagai Joyah menerusi siri Opah ini turut bersyukur menerima bantuan makanan daripada persatuan artis dan pelbagai pihak yang prihatin.

"Saya hargai apa yang diberikan, tapi kita semua tahu duit juga penting untuk pelbagai kegunaan antaranya untuk membayar bil. Mujur sewa rumah ada penangguhan. Saya sentiasa berdoa supaya dibenarkan keluar bekerja kerana sudah biasa bekerja.

"Apa yang berlaku memang perit dan bukan saya seorang sahaja yang melaluinya. Diharapkan wabak seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang," katanya.

Norlia sebelum ini pernah menerima bantuan dari Baitulmal tetapi tidak lagi sejak Januari lalu. Dia turut memohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diumumkan kerajaan dan menerima berita gembira apabila permohonan untuk jumlah RM800 diluluskan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 3:58 PM