MEI FEI
MEI FEI

"Rupa Cina bukit? Oh, patutlah dulu Kak Erma ambil saya main (berlakon) watak Hang Li Po!"

Demikian kata pelakon, Lim Mei Fen, menjawab komen netizen di forum perbualan dalam talian mengenai dirinya yang dikatakan masih belum cukup dikenali. 

Dalam hantaran di Instagram, Mei Fen juga menjelaskan bahawa dia masih lagi bujang dan belum mempunyai anak seperti yang dikatakan oleh netizen kerana memakai pakaian yang tertutup. 

"Tiga tahun di Aswara dan kini, kerja dengan orang Melayu. Maka, saya berpakaian ikut kesesuaianlah. Pada saya, ini adalah perkara asas dan tanda hormat. Lagi satu, saya tak ada anak dan masih bujang," katanya. 

Dalam hantaran sama, Mei Fen juga menjelaskan dia mencari rezeki halal menerusi lakonan untuk membiayai pelajarannya. 

"Ya betul, dulu saya pelakon tambahan dalam drama Cina. Watak saya, ada satu atau dua dialog. Ini kerja halal yang membayar yuran Aswara saya.

"Apa pun, terima kasih kerana menyokong drama Cina Malaysia," tulisnya. 

Terdahulu, Mei Fen dalam satu hantaran menjelaskan perasaannya yang baru berani menggelarkan dirinya pelakon selepas lapan tahun berkarya sebagai anak seni. 

Terbaharu, Mei Fen kini membintangi drama bersiri Rindu Darul Iman terbitan Zeel Production. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 5:03 PM