AKSI Shukri dan Sharnaaz dalam drama I Promise Janji Anaqi.
AKSI Shukri dan Sharnaaz dalam drama I Promise Janji Anaqi.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Impian peminat untuk menyaksikan pelakon Sharnaaz Ahmad dan Shukri Yahaya berlakon dalam satu projek drama akhirnya tercapai.

Shukri membuat penampilan istimewa dalam drama I Promise Janji Anaqi yang ditayangkan di saluran Astro Ria, semalam.

Sebelum ini, kedua mereka dilihat sangat akrab apabila sering mengadakan sesi siaran langsung bersama dan saling berbalas komen di Instagram.

Pengarahnya, Hadith Omar berkata, keakraban dua pelakon itu turut dibawa ketika penggambaran dijalankan.

"Ini adalah pertama kali mereka bergandingan bersama dalam satu naskhah dan telatah mereka dapat dilihat ketika melakukan babak di lokasi di mana Shukri sering mengusik Sharnaaz dan membuat Sharnaaz kadang kala terganggu ketika melakonkan babak.

"Hubungan akrab antara mereka di media sosial dapat dilihat ketika di set penggambaran. Mereka bukan saja rapat tetapi berkongsi cita rasa yang sama seperti memiliki kipas angin yang sama ketika berada di lokasi," katanya kepada Harian Metro.

Di ruangan komen Instagram Shukri, kebanyakannya memuji lakonan mereka yang dianggap terbaik.

"Wow, gandingan yang bagus. Kami dapat melihat sisi berbeza Shukri. Sharnaaz pula sentiasa terbaik," kata pemilik akaun kay_eusoff.

Pada episod ke-20 itu, Shukri melakon watak sebagai Zero, seorang pembunuh upahan yang menjejak Anaqi lakonan Sharnaaz untuk mendapatkan bantuan daripada Anaqi untuk meleraikan pertelingkahan yang berlaku dalam dunia pembunuh upahan.

Selain Sharnaaz, drama 24 episod turut menampilkan Emma Maembong, Talha Harith, Alicia Amin, Dayana Roza dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 11:28 AM