Aliff Syukri bersama ibunya Rozita Ibrahim.
Aliff Syukri bersama ibunya Rozita Ibrahim.

Kuala Lumpur: "Dah sembuh pun kan? Tak payahlah nampak nazak sangat."

Demikian tulis ibu kepada usahawan dan penyanyi, Datuk Seri Aliff Syukri, Rozita Ibrahim mengenai anaknya itu yang dilabel sebagai 'Raja Viral'.

Ia susulan hantaran Aliff di Instagram semalam memaklumkan dia dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti Covid-19 tahap tiga. Dalam hantaran sama, Aliff turut memohon maaf kerana bimbang usianya tak panjang.

Rozita menerusi Instagram berkata, dia perlu menegur tindakan anaknya yang dianggap seperti 'mengada-ngada' selepas Aliff tidak menjawab panggilan dan membalas mesejnya.

"Kau memang Raja Viral kan. Memang Kri (Syukri) Covid-19 tahap tiga, tapi dah sembuh. Memang disleksia tak faham bahasa. Mak geram dengan kau Kri.

"Mak 'sound' Ida (Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid), mak hubungi Kri, mesej, tak jawab. Semalam, mak dah tegur, faham-fahamlah. Sekarang mak tegur 'direct' biar kau rasa. Nak sangat kan tular. Mari mak kecam kau pula," tulisnya.

Rozita juga menegur tindakan anaknya yang memberi kesan kepadanya sebagai ibu dan ahli keluarga yang lain.

"Kau jangan nak 'poyo' sangat Syukri. Kau tak ada kerja kat sana. Tangan kau gatal menaip bagai nak rak! Hadis dan doa mana Kri salin? Selepas itu, yang jadi mangsa netizen, mak, Ida dengan keluarga yang tinggal. Kau jangan cari pasal! Mak serang Kri kat sana! Kau jangan ya, jangan mak buat betul-betul," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Rozita turut menjelaskan bahawa dia sebelum ini sudah menasihatkan anaknya supaya membuat ujian Covid-19 dengan segera namun tidak diendahkan.

"Mak nangis suruh periksa sebelum itu, tapi kau tak nak dengar. Dah sihat, kau pun 'post' macam sedang nazak. Kejap lagi, mak hantar 'sepak' guna Telegram ke hospital, baru ada akal," tulisnya.

Membalas tulisan panjang ibunya, Aliff menulis komen luahan rasa pilu dengan tindakan ibunya.

"Sampai hati mak cakap begitu. Mak tak kasihan dengan saya ke?" tulisnya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai Aliff yang disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari bercuti bersama keluarganya di Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 6:04 PM