RIZKY dan Lesti bakal timang anak sulung tahun depan.
RIZKY dan Lesti bakal timang anak sulung tahun depan.
Susunan Najiy Jefri


PASANGAN selebriti popular Indonesia, Rizky Billar dan Lesti Kejora mengakui teruja menantikan detik bahagia mereka bergelar ibu bapa.

Lesti yang kini hamil tujuh bulan masih aktif menghadiri program hiburan bersama Rizky untuk berkongsi mengenai perancangan menyambut kelahiran bayi sulung mereka, kira-kira dua bulan lagi.

Lebih menarik, menerusi satu temu bual bersama YouTube Intens Investigasi, Rizky berkongsi perancangannya untuk menyewa seluruh tingkat wad bersalin di sebuah hospital ketika Lesti melahirkan anak mereka, dijangka lahir tahun depan.

"Saya sudah bertanya perkara ini kepada pihak hospital, tapi masih menunggu keputusan. Harap-harap saya dapat menyewa seluruh tingkat wad bersalin berkenaan," katanya.

Kata Rizky lagi, langkah itu diambilnya bagi menjamin keselesaan dan keselamatan isteri tercinta.

Tambah Rizky, dia turut menjangkakan keluarga mereka bakal menerima ramai tetamu selepas Lesti selamat melahirkan anak nanti.

PASANGAN bahagia Rizky dan isteri, Lesti.
PASANGAN bahagia Rizky dan isteri, Lesti.

"Saya juga perlu fikir apa yang terbaik kerana sudah pasti ramai tetamu yang akan datang menziarah isteri dan anak," katanya.

Dalam masa sama, Rizky dan Lesti berkongsi sudah mempersiapkan sebuah bilik khas untuk anak mereka yang kini digelar 'Baby L'.

"Buat masa ini, saya masih mencari barang untuk dekorasi bilik anak sulung kami. Insya-Allah, semuanya akan siap juga," katanya.

Mengikut perancangan, Lesti dijangka bersalin pada akhir Januari atau awal Februari tahun depan.

Rizky dalam satu temu bual lain, pernah memaklumkan dia berharap anak sulungnya itu lahir pada tanggal 2.2.2022.

Terdahulu pasangan ini mengejutkan banyak pihak apabila memaklumkan bahawa mereka sebenarnya sudah bernikah sejak awal tahun ini.

Pasangan selebriti terkenal dari negara jiran ini juga sanggup mengadakan majlis pernikahan kali kedua mereka dengan diraikan dalam resepsi penuh gilang-gemilang pada 19 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 6:49 AM