PEMAIN dram Blues Gang, Shaik Karim (duduk kanan) meninggal dunia jam 1.45 petang, hari ini.
PEMAIN dram Blues Gang, Shaik Karim (duduk kanan) meninggal dunia jam 1.45 petang, hari ini.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pemain dram Blues Gang, Shaik Karim, 70, meninggal dunia di Hospital Ampang, di sini, jam 1.45 petang, hari ini.

Sebelum itu, Karim yang juga salah seorang pengasas Blues Gang koma sejak empat hari lalu selepas terjatuh.

Penyanyi Blues Gang, Ito Mohd, 72, ketika dihubungi mengesahkan berita sedih itu dan mengakui merasa kehilangan terlalu besar dengan pemergian sahabat baiknya itu.

Menurut Ito, Allahyarham menghidap kencing manis dan menjalani dialisis.

Ito yang masih terkejut dan tidak menyangka dengan pemergian Karim berkata, Blues Gang semestinya tempang selepas ini dengan ketiadaan Karim.

"Memang sedih kerana patutnya kami akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan Blues Gang. Pemergiannya membuatkan saya rasa kami sudah tak ada.

"Ini kerana saya sendiri sangat yakin arwah akan sihat semula dan boleh kembali membuat persembahan. Banyak hal yang akan saya rindui mengenainya.

"Dari awal penubuhan Blues Gang lagi, dia adalah penyanyi pertama sebelum saya. Banyak kenangan bersamanya saya takkan lupa," katanya dengan nada sebak.

Terdahulu, pada 2019, Karim pernah mendapat perhatian peminat yang mengumpul dana untuk pembiayaan penyakit kencing manisnya itu.

Selain Karim dan Ito, Blues Gang kini turut dianggotai Ghani (keyboard) dan Julian Mokhtar (gitar).

Seorang lagi pengasas Blues Gang dan pemain bass, Jim Mandasamy meninggal dunia pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 4:12 PM