PUTERI Aishah dan suaminya, Muhammad Firdaus.
PUTERI Aishah dan suaminya, Muhammad Firdaus.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Aishah, 27, selamat melangsungkan majlis pernikahan dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus, 28, di sebuah hotel terkemuka, di sini, jam 11.15 pagi, hari ini.

Puteri atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman dinikahkan oleh  Ustaz Mohd Abdul Nasir Abdullah dengan disaksikan bapanya, Sulaiman Abd Rahman sebagai wali.

Pada majlis itu, Puteri menerima mas kahwin RM300 beserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki. Sementara pihak perempuan menyerahkan tujuh dulang. 

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga. 

Puteri berkata, dia sudah lama menantikan saat ini dan berharap ikatan perkahwinan dibina itu akan berkekalan hingga akhir hayat.

"Alhamdulillah majlis dirancang berjalan lancar selepas beberapa kali ditangguh akibat pandemik Covid-19. Saya bersyukur apabila impian kami untuk melihat perkahwinan ini disaksikan oleh keluarga kedua belah pihak tercapai.

"Saya dan suami juga memohon maaf kerana tidak dapat menjemput rakan-rakan artis lain atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya. 

Menurut Puteri, dia mengakui Firdaus memiliki setiap ciri-ciri lelaki idamannya. 

"Sepanjang dua tahun mengenali Firdaus, saya menyukai keperibadiannya. Dia seorang yang baik dan mengutamakan keluarga. Dia juga sangat menyayangi dan meletakkan keluarganya nombor satu. 

"Malah, Firdaus sentiasa menyokong minat saya dalam bidang lakonan. Dia juga sudah beri lampu hijau di mana saya boleh teruskan kerjaya seni ini selama mungkin," katanya. 

Pada majlis sederhana membabitkan keluarga dan kenalan terdekat kedua belah pihak itu, Puteri dan Firdaus tampil ringkas dengan busana pengantin berwarna putih. Baju pernikahan itu adalah rekaan Rizman Ruzaini.

Majlis resepsi pasangan bahagia ini bakal diadakan di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 12:35 PM