Georgie Joseph


PERCATURAN bijak pelakon Puteri Aishah menyimpan rapi perihal cintanya nyata wajar dipuji.

Disatukan dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus Sulaiman baru-baru ini, ramai terkejut.

Namun itulah pendekatan yang terbaik buat pengantin baharu itu.

Puteri, 28, dan Firdaus, 27, lebih memilih untuk meuar-uarkan majlis mereka selepas semuanya pasti dan sah tanpa perlu berkongsi sorotan hubungan mereka selama ini.

Sekaligus, aturan majlis perkahwinan mereka jelas tampak lancar dan berlangsung seperti diidamkan mereka.

Tanpa perlu mencanang kisah cinta, hubungan mereka terus dilangsungkan ke jenjang pelamin.

Akhirnya berkongsi cerita mereka, Puteri berkata dia sememangnya menghormati privasi suaminya itu. Hakikatnya, dia sendiri memang tidak gemar menyingkap kisah cinta sendiri.

"Kalau ikutkan, saya memang tidak akan berkongsi mengenai perihal cinta pun sebelum ini. Kalau saya berkongsi mengenai seseorang, maknanya individu itu pun cuma kawan biasa.

"Selepas ini pun saya tidaklah mahu terlalu dedahkan mengenai Firdaus kerana dia selesa untuk jaga privasinya. Tidaklah mahu beria 'tag' dia di Instagram kerana kalau tak buat pun, ada ramai yang sudah tahu mengenainya," katanya.

BERJAYA menyimpan rapi kisah cinta mereka selama beberapa tahun.
BERJAYA menyimpan rapi kisah cinta mereka selama beberapa tahun.

Berkenalan sejak beberapa tahun lalu, ternyata jodoh pasangan itu cukup kuat. Bermula daripada pertemuan diatur tanpa sengaja rakan mereka, dari situlah kisah cinta mereka bercambah.

Menurut Puteri, awalnya mereka cuma sekadar berkawan biasa. Bagaimanapun, perkenalan semakin rapat akhirnya merungkai isi hati yang saling terpaut dari semasa ke semasa.

"Ketika itu saya baharu saja putus cinta. Disebabkan itu, rakan saya bernama Hafiz membawa keluar untuk menonton perlawanan bola sepak dan kebetulan Firdaus pun ada bersama.

"Bagaimanapun, kami tidak bercakap sangat dan sekadar bertukar akaun Instagram. Kemudian barulah bertukar mesej, keluar bersama dan bermulalah bibit-bibit cinta," katanya.

Puteri juga mengakui suaminya adalah seorang lelaki yang agak kekok dalam bercinta pada awalnya. Bagaimanapun, dia sangat suka dengan pendirian Firdaus untuk serius berkahwin jika ada jodoh.

"Saya adalah cinta pertamanya dan dia memang agak kekok apabila mendekati wanita. Namun, dia sendiri mahu terus berkahwin jika memang sudah bertemu jodoh tepat," katanya.

Paling menyentuh Puteri semestinya keperibadian Firdaus yang cukup menyenangkan. Bahkan, dia gembira kerana kerjayanya mendapat sokongan penuh daripada suaminya itu.

"Saya tertarik dengannya kerana dia adalah seorang yang cukup bertanggungjawab, kuat sifat kepimpinan, dan sangat pemaaf. Dia juga paling kuat menyokong saya dalam kerjaya.

"Ini kerana, saya beritahunya kerjaya lakonan penting untuk saya menyara keluarga. Dia faham dan tidak pernah cuba menghalang untuk saya terus aktif dalam bidang seni.

"Lagipun, kami sama-sama memang berjanji untuk mengecap kejayaan serta maju seiring. Itu antara misi kami untuk terus menyokong sesama sendiri dalam mencapai apa juga kejayaan dalam hidup," katanya.

Buat Firdaus pula, dia melihat Puteri sebagai seorang wanita yang penuh dengan keperibadian menarik. Paling disukainya adalah kematangan isterinya dalam mengendalikan masalah.

"Dia cantik, kelakar, dan boleh mengendalikan saya dalam hal tertentu. Bukan bermaksud dia suka mengawal, tapi lebih kepada memberikan kesenangan untuk contohnya jika saya marah.

"Saya juga tidak risau apabila kehidupan selepas ini mungkin jadi perhatian. Bukanlah saya takut untuk berdepan dengan perhatian itu, tapi kerana sebolehnya saya memang nakkan privasi.

MAHU saling menyokong dan bersama mengecap kejayaan dalam kerjaya.
MAHU saling menyokong dan bersama mengecap kejayaan dalam kerjaya.

"Tapi saya percaya Puteri ada dan lebih berpengalaman untuk membantu dalam berdepan perhatian orang luar kelak. Apapun, saya juga akan sentiasa berikan sokongan terbaik kepada isteri juga dalam setiap hal," katanya.

Bercerita mengenai cahaya mata, pasangan itu tidak menolak sekiranya diberikan rezeki mendapat anak lebih awal. Namun begitu, mereka tidak menetapkan perancangan untuk hal itu lagi.

"Tak ada pun letak sasaran. Kalau dapat anak cepat pun memang kami terima rezeki itu. Apapun kami serahkan sepenuhnya kepada rezeki sahaja buat masa ini.

"Manakala untuk bulan madu, kami akan pergi secepat mungkin juga. Kami mengimpikan untuk ke luar negara namun tertakluk kepada keadaan semasa juga," katanya.

Pasangan itu selamat bernikah pada 21 November lalu di sebuah hotel terkemuka, di Kuala Lumpur. Puteri dinikahkan oleh Ustaz Mohd Abdul Nasir Abdullah dengan disaksikan bapanya, Sulaiman Abd Rahman sebagai wali.

Pada majlis itu, Puteri menerima mas kahwin RM300 beserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki. Sementara pihak perempuan menyerahkan tujuh dulang. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Pada majlis sederhana membabitkan keluarga dan kenalan terdekat kedua belah pihak itu, Puteri dan Firdaus tampil ringkas dengan busana pengantin berwarna putih. Baju pernikahan itu adalah rekaan Rizman Ruzaini.

Majlis resepsi pasangan bahagia ini bakal diadakan di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur pada sebelah malam. Ia turut dihadiri ramai rakan artis dalam majlis yang patuh prosedur operasi standard (SOP) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 6:00 AM