Siti Saleha.
Siti Saleha.
Wartawan Harian Metro


Kuala Lumpur: Pelakon Siti Saleha, 31, menganggap isu rumah tangga yang menimpa dirinya sebagai satu ujian dan buat masa ini dia mengambil pendekatan enggan mengulas lanjut.

Apatah lagi, bintang utama drama Nora Elena ini didakwa sudah tidak tinggal sebumbung dengan suaminya, termasuk dikatakan wujud 'orang ketiga' yang menjadi punca berkenaan.

Saleha ketika ditemubual media selepas memenangi trofi Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34) malam semalam, enggan mengulas lebih lanjut dan memberi komen.

"No comment (Tiada komen). Saya minta semua hornati 'space' (ruang) saya. Minta maaf sangat, saya tak mahu komen apa-apa berkenaan hal peribadi. Maafkan saya sekali lagi.

"Apa-apapun, saya nak semua orang tahu yang saya okey saja. Ya, perkara itu (fail cerai) adalah satu ujian untuk saya, tetapi kemenangan trofi ini juga menjadi hadiah istimewa buat saya pada tahun ini," katanya

Terdahulu, Siti Saleha mengakui memang dia sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Ahmad Lutfi Azhar, 35, pada 13 Oktober lalu. Pasangan ini bernikah pada 2017 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Berbicara juga mengenai kejayaannya yang menang trofi untuk kategori sama bagi tahun kedua, Siti Saleha berkata dia hanya mampu bersyukur kerana kemenangan berpihak kepadanya. Malah, dia amat berterima kasih dengan kelab peminatnya.

"Sejujurnya, sukar untuk saya kekalkan trofi ini tetapi rezeki masih berpihak kepada saya, alhamdulillah. Ini semua hasil kerja keras daripada peminat dan saya sangat menghargai mereka.

"Semenjak awal pembabitan dalam kerjaya seni ini, memang peminat tak henti menyokong saya dan itu adalah tunjang utama kerjaya saya dalam bidang lakonan dapat bertahan. Syukur, saya sangat bersyukur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 4:05 PM