SALEHA dan Lutfi berkempen untuk kesedaran kanser dengan cara sendiri. FOTO/ROHANIS SHUKRI.
SALEHA dan Lutfi berkempen untuk kesedaran kanser dengan cara sendiri. FOTO/ROHANIS SHUKRI.
Amirul Haswendy Ashari


INSPIRASI bermula pada hari perkahwinan mereka tahun lalu apabila Ahmad Lutfi Azhar atau Lutfi melihat isterinya, pelakon jelita Siti Saleha menghadiahkan pin cenderahati kempen kesedaran Penyelidikan Kanser Malaysia (CRM) kepada tetamu yang hadir.

Dari situ, Lutfi terpanggil untuk mengikut jejak langkah isterinya mengadakan kempen kesedaran dengan cara tersendiri.

Saleha berkata, idea sebenarnya bermula sebagai latihan kecergasan suaminya yang menceburi sukan tinju pada Februari lalu.

“Tiba-tiba suami beritahu mendapat idea untuk mengadakan sebuah acara kebajikan dengan menggunakan sukan tinju sebagai aktiviti kesedaran.

“Pada awalnya saya agak terkejut kerana tidak sangka dia mahu mengadakan aktiviti itu,” kata Saleha.

Dalam pada itu, Lutfi mengakui mendapat inspirasi apabila isterinya mulakan kerja inisiatif berkempen bersama CRM walaupun ketika majlis perkahwinan mereka dulu.

“Jadi, saya terfikir apa yang saya buat sebab sepanjang hidup, sentiasa cuba memberi semula kepada masyarakat melalui aktiviti kebajikan,” kata Lutfi pula.

Kali terakhir Lutfi terbabit dalam aktiviti kemanusiaan ialah menerusi misi pembinaan beberapa hospital rakyat di Bangladesh untuk pelarian Rohingya.

Katanya, sehinggalah terbabit dalam aktiviti kecergasan pada Februari lalu, dia mula ada keyakinan untuk berlawan lantas berbincang dengan isterinya.

“Saya bincang dengan isteri mengenai perkara ini dan dia sangat menyokong demi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanser.

“Dari situ kami mewujudkan tanda pagar #CancerFightMalaysia,” kata Lutfi.

Lutfi kemudian mula berbincang dengan jurulatih tinju, Jon Thoo bagi mendapatkan restu dan kerjasama.

Apatah lagi, Jon yang juga peninju profesional pernah kehilangan ahli keluarga kerana kanser dan ia menguatkan kerjasama antara mereka.

Lutfi berkata dia berlatih secara serius sejak tiga bulan lalu dengan kekerapan dua hingga tiga kali sehari.

Selain itu, dia juga berlari setiap hari untuk menguatkan stamina selain menjaga pemakanan.

“Dalam tempoh tiga bulan berat badan saya turun 15 kilogram. Saya bersyukur Saleha banyak membantu menyediakan diet yang betul seperti makanan tanpa gula, garam dan kurangkan karbohidrat.

“Saya sudah mencapai apa yang saya nak dari segi ‘mindset’, ditambah pula isteri yang sangat menyokong, makan minum semuanya dijaga, kalau tiada sokongan daripadanya, saya sudah ‘kalah’,” kata Lutfi.

Saleha pula menjelaskan biarpun menyokong usaha suaminya, perasaan risau tetap ada kerana tahu belahan jiwanya itu berdepan risiko cedera.

Namun, disebabkan perkara dilakukan Lutfi aktiviti mulia, selain dedikasi ditunjukkan suaminya, Saleha sangat bangga.

Pasangan yang berkahwin pada 28 Julai 2017 itu berharap dapat mengumpul sasaran sumbangan sebanyak RM10,000.

“Sumbangan boleh dibuat terus kepada CRM, bukan melalui akaun persendirian kami. Kami sasarkan sebanyak itu, lagi banyak lagi bagus tapi kalau tak capai sasaran, tak mustahil saya akan bertinju lagi.

“Ramai berpendapat tinju hanya mengenai menumbuk dan ditumbuk padahal ia lebih daripada itu,” kata Lutfi.

Lutfi dan Saleha berharap mendapat lebih banyak sokongan daripada rakan selebriti dan syarikat korporat.

Katanya, mereka kena selalu melakukan kelainan untuk mendekati masyarakat dengan menyertai banyak aktiviti kesedaran.

“Saya tidak boleh bertinju sekali saja, kalau ada peluang saya mahu teruskan. Bukan setakat bertinju tetapi mungkin acara sukan lain pada masa depan.

“Ia perlu agar dunia dapat lihat Malaysia juga mempunyai kempen dan inisiatif sebegini untuk bangkitkan kesedaran mengenai kanser,” kata Lutfi.

Pada hari acara, ada 11 perlawanan daripada pelbagai kategori dan Lutfi akan terbabit dalam kategori bawah 70 kilogram.

Lawan Lutfi ialah peninju amatur yang juga ahli seni bela diri MMA.

Acara dikenali Fight For Cancer Malaysia Boxing Charity ini akan berlangsung di New Camp, Bandar Utama bermula jam 4 petang sehingga 10 malam pada 15 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 5:30 AM