A Aida (kiri) bersama Ezlynn dan suami, Wan Mohd Hafizam.
A Aida (kiri) bersama Ezlynn dan suami, Wan Mohd Hafizam.

"Dan kalau nak tahu, tadi, dia 'offer' I (jadi madu)."

Demikian kata penerbit, Datuk A Aida dalam video yang dimuat naik ke Instagram memaparkan dia bersama penyanyi, Ezlynn Ariffin dan suaminya, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail.

Hantaran itu mencuri perhatian ramai apabila Aida dalam nada bergurau 'menemubual' Ezlynn dan bertanya, apakah alasan dia ingin mencari madu dan melengkapkan empat isteri untuk suaminya.

"Okay, kalau nak tahu, inilah wanita syurga yang mencari madu untuk suaminya. Beruntungnya kau, Wan! Apakah alasan anda, Lyn (Ezlynn), untuk mencari madu kepada suami anda?" soalnya.

Ezlynn dengan tenang menjawab pertanyaan itu dan memberi alasan bahawa dia ingin melihat suaminya yang juga penderma hati pertama negara itu bahagia.

"Kerana terlalu menyayangi. Ya lah, perempuan mana yang sanggup nak tengok (dimadukan). Tapi, saya rasa macam, kalaulah itu memberi kebahagiaan kepada suami, akan menambahkan kebahagiaan kepada saya," katanya.

Mengulas lagi mengenai tindakan Ezlynn itu, Aida juga menganggap bahawa penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye itu adalah isteri yang juga rezeki daripada Allah buat Wan.

"Suami dia dahulu penderma hati. Semoga Allah beri Tuan Wan kita rezeki yang melimpah ruah. Dan sebab itulah isterinya sanggup mencari madu untuknya," katanya.

Menutup video pendek berdurasi lebih dua minit itu, Aida menegaskan bahawa dia tidak menyokong sekiranya Ezlynn ingin bermadu, namun dalam nada bergurau.

"Pasal bermadu itu, I tak sokong. Jangan Lyn!" jeritnya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan berita perkahwinan Ezlynn dan suami pada 11 September lalu.

Tidak lama selepas itu, Ezlynn mengejutkan ramai netizen apabila meluahkan hasrat untuk mencari madu bagi melengkapkan empat isteri untuk suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 6:46 PM