HACKS rungkai kisah hidup Jean Smart sebelum mencipta nama di Las Vegas. - FOTO Google
HACKS rungkai kisah hidup Jean Smart sebelum mencipta nama di Las Vegas. - FOTO Google
Syafil Syazwan Jefri


PELAWAK dan bintang komedi sering dilihat sebagai figura yang sentiasa menceriakan dan mampu mengukir senyuman di wajah setiap penonton.

Namun begitu, di sebalik idea dan persembahan komedi itu, mungkin ramai yang tidak tahu, apa sebenarnya yang berlaku di balik tabir kehidupan seorang bintang komedi.

Drama bersiri terbaharu yang kini ditayangkan di platform HBO Go, Hacks membawa penonton untuk melihat sendiri kisah suka dan duka di sebalik kehidupan bintang komedi legenda, Deborah Vance yang menempa nama di Las Vegas.

Berpeluang mewawancara bintang utamanya yang juga pelakon veteran Hollywood, Jean Smart baru-baru ini, dia berkongsi pengalaman membintangi drama bersiri terbaharu lakonannya itu.

"Saya gembira kerana berpeluang untuk bekerja bersama mereka yang lucu dan ramah. Naskhah kali ini berkisar mengenai kehidupan seorang wanita yang berada dalam satu bidang di mana, ia dimonopoli oleh lelaki," katanya.

Smart, 70, mengakui teruja saat menerima tawaran untuk membintangi naskhah yang disifatkan sebagai rumit ini.

"Naskhah ini sangat rumit dan tidak dapat dijangka. Dalam kata lain, ia adalah karya yang sangat dramatik. Itu salah satu sebab kenapa saya terima tawaran untuk membintangi Hacks," katanya.

Berkongsi mengenai watak Deborah Vance yang dibintanginya, Smart juga menggambarkan Deborah sebagai wanita yang begitu rumit.

- FOTO Google
- FOTO Google

- FOTO Google
- FOTO Google

"Seperti yang saya gambarkan mengenai naskhah ini, Deborah juga adalah watak wanita yang rumit dan sangat dramatik. Dia juga begitu spesifik dalam melakukan sesuatu.

"Banyak yang ingin digapainya dalam kehidupan. Pada masa sama, dia juga mencintai kariernya sebagai bintang komedi kerana menerusi karier itu, dia disayangi dan membina keyakinan," katanya.

Kehidupan Deborah kemudiannya diuji apabila namanya bakal digantikan dengan bakat baharu.

"Ketika dia berjuang untuk menerima kenyataan bahawa dirinya akan digantikan oleh seorang bakat baharu, dia pada masa sama masih kekal dengan ego yang menolak idea-idea terkini.

"Dari situlah muncul watak Ava lakonan Hanna Einbinder yang mana, cuba membawa idea baharu dalam komedinya memandangkan tugasan Ava adalah sebagai penulis komedi," katanya.

Hacks tidak hanya menyajikan kisah drama, sebaliknya turut membawa penonton melihat sendiri apa yang berlaku di balik tabir industri seni persembahan di Hollywood.

Ditanya sama ada apa yang dipertontonkan dalam Hacks contohnya, 'seksis' adalah terjemahan sebenar apa yang berlaku dalam industri seni persembahan di Hollywood, Smart tidak menafikannya.

"Kalau kita lihat semula sejarah, 'seksis' ini memang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Bukan saja di Hollywood, bahkan dalam sejarah lain juga termasuklah peperangan.

"Lelaki dilihat sebagai golongan yang bekerja dan boleh melakukan apa saja, manakala wanita pula dianggap sebagai golongan yang lemah dan hanya perlu berada di rumah.

"Disebabkan itu, kebanyakan ruang persembahan dan apa juga karya, lebih.berkisar mengenai lelaki berbanding wanita. Namun, kini semuanya sudah berubah kerana wanita juga sudah dapat melakukan banyak perkara hebat," katanya.

Selain James dan Einbinder, Hacks yang ditayangkan sebanyak 10 episod turut dibintangi barisan pelakon lain antaranya Carl Clemons-Hopkins, Kaitlin Olson, Christopher McDonald dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:49 AM