DRAMA Hasrat Tersirat bersiaran sebanyak 20 episod.
DRAMA Hasrat Tersirat bersiaran sebanyak 20 episod.
Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS berakhirnya tayangan drama Ali Alia yang meruntun emosi, sebuah lagi naskhah menarik terbitan Mediacorp Suria yang mengangkat tema konflik keluarga berjudul Hasrat Tersirat ditayangkan di slot Tiara saluran Astro Prima (105) bermula 10 September lalu.

Drama yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, itu memaparkan mengenai pergolakan keluarga, dendam dan perebutan harta pusaka.

Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, drama Hasrat Tersirat sarat dengan mesej yang jelas dan bermanfaat jika dilihat dari sudut pandang yang positif.

"Sebagai saluran keluarga yang menghiburkan, kami amat mementingkan kandungan komersial berkualiti dan dinamik yang mampu mencuit emosi segenap lapisan umur kerana maklum balas dan penerimaan penonton akan mempengaruhi kejayaan saluran ini secara langsung.

"Kami melihat naskhah terbaharu taruhan slot Tiara yang sekali lagi mengangkat mengenai konflik dalaman keluarga ini dapat menjentik emosi penonton kerana ia sarat dengan mesej yang jelas dan bermanfaat jika dilihat daripada sudut pandang yang positif," katanya.

Menurut Norzeha, ada banyak perkara yang boleh dijadikan iktibar dan panduan sepanjang 20 episod drama itu bersiaran.

"Berdepan dengan konflik adalah asam garam kehidupan yang akan mematangkan diri kita. Semoga impak penceritaan Hasrat Tersirat dapat dirasai peminat drama Melayu sehingga mampu mencetuskan fenomena tersendiri," katanya.

Drama Hasrat Tersirat menampilkan lakonan mantap barisan bintang handalan dari Singapura seperti Rahimah Yusoff yang membawakan watak Aisyah, Azhar Norlesta (Ramli), Abdullah Ahmad (Hamzah), Fir Rahman (Danial), Farhana M Noor (Farah), Shaquille Daniel (Amri), dan ramai lagi.

BABAK menarik dalam drama ini.
BABAK menarik dalam drama ini.

Penceritaan penuh konflik dalam drama ini bermula selepas kematian ketua keluarga, Hamzah yang menyebabkan keluarganya mula berpecah-belah.

Isterinya, Aisyah terpaksa berdepan dengan masalah menguruskan pembahagian harta pusaka dan kebenaran yang dituntut anak tirinya iaitu Danial dan Farah, anak autistiknya, Amri, serta seseorang dari masa silamnya.

Aisyah harus melawan semua ini bersendirian serta dalam masa yang sama cuba memelihara nama baik Allahyarham suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 6:35 AM