ANTARA karya kreatif peserta dari pelbagai negara dalam Pertandingan Mewarna Hari Kebangsaan BoboiBoy.
ANTARA karya kreatif peserta dari pelbagai negara dalam Pertandingan Mewarna Hari Kebangsaan BoboiBoy.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pertandingan mewarna Hari Kebangsaan oleh jenama animasi tempatan, BoBoiBoy menerima sambutan dari serata dunia sejak dilancarkan pada 25 Ogos lalu.

Lebih 500 penyertaan diterima syarikat Monsta menerusi pertandingan dianjurkan dalam talian itu.

Peserta mencuba nasib termasuk dari Indonesia, Vietnam, Filipina, Singapura, India, Greece, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bangladesh dan lain-lain.

Ketua Jenama dan Pemasaran Antarabangsa Monsta, Faiz Zainal Aabidin berkata, sambutan itu amat membanggakan apatah lagi lukisan itu membawa identiti Malaysia.

"Hasil mewarna yang dipaparkan setiap peserta ternyata amat membanggakan. Kami amat teruja apabila dapat melihat mereka menggunakan menampilkan kreativiti luar biasa.

"Dalam peraduan mewarna itu, mereka bebas untuk mencipta corak samping dan tengkolok BoBoiBoy. Pelbagai gaya tersendiri dipamerkan sesuai dengan tema nusantara mengikut kreativiti dan imaginasi masing-masing," katanya.

Pertandingan masih lagi berlangsung sehingga 25 September ini dan peserta boleh menghantar hasil mewarna mereka dengan memuatnaik gambar menerusi akaun media sosial Facebook, Instagram atau Twitter masing-masing.

Syarat penyertaan boleh disemak di akaun media sosial rasmi BoBoiBoy.

Terdapat empat kategori dipertandingkan iaitu usia empat hingga enam tahun, tujuh hingga 12 tahun, 13 hingga 17 tahun dan 18 tahun ke atas.

Seramai 15 pemenang bertuah bakal membawa pulang set barangan eksklusif BoBoiBoy Beyond 10 dari Monsta bersempena dengan ulang tahun siri animasi ke-10 BoBoiBoy tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 4:57 PM