Fendy Caliph Buskers
Fendy Caliph Buskers
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Terima kasih Harian Metro. Semalam berita saya disiarkan, hari ini alhamdulillah dah dapat jawapan berkaitan permohonan rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dimohon."

Itulah ayat pertama yang keluar dari mulut pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, yang gembira dan bersyukur apabila hasratnya untuk memiliki rumah mampu milik DBKL, bakal menjadi kenyataan.

Menurut Fendy, dia juga tidak berhasrat untuk mengadu domba, tapi apabila Harian Metro menghubungi dan bertanyakan mengenai status permohonan rumah itu, maka dia menjelaskan situasi yang sebenar.

"Saya memang berharap sangat nak dapatkan rumah itu dengan segera. Walaupun saya tahu ramai orang kurang berkemampuan macam saya memerlukan rumah mampu milik juga, dan mungkin ada di antaranya sudah menunggu lama. Tapi, dalam situasi saya yang cacat penglihatan dan sumber pendapatan sudah terjejas ini, bagaimana saya hendak terus menunggu.

"Selain itu, saya juga ada seorang anak yang senasib dengan saya, cacat penglihatan dan autisme. Sebagai bapa, sudah tentu sedikit sebanyak saya ingin memberi keselesaan kepadanya walaupun kami tidak mampu hidup mewah," katanya kepada Harian Metro.

Sehubungan itu, Fendy juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kerana sudi membantu dan prihatin terhadap masalah rumah yang diperlukannya.

"Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih dan semoga Allah membalas segala kebaikan yang diberikan ini," katanya.

Menurut Fendy, dia difahamkan boleh mendapat kunci rumah itu esok selepas membuat bayaran wang pendahuluan atau deposit. Katanya, harap semoga urusan dipermudahkan dan berjalan lancar.

Selain itu, Fendy berkata permohonannya untuk bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Elaun Pekerja Cacat (EPC) juga sudah diluluskan dan akan diterima tidak lama lagi.

Semalam, Harian Metro melaporkan luahan Fendy mengenai status rumah mampu milik yang sudah dimohonnya dari DBKL, namun masih tidak mendapat sebarang perkembangan terkini.

Sebelum itu, pada Julai lalu tular video yang dimuat naik Fendy di Facebook yang memohon Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memudahkan permohonannya mendapatkan rumah mampu milik DBKL.

Ia berikutan, pendapatan Fendy terjejas teruk hingga dia sukar membayar sewa rumah serta perlu menyara anak perempuannya, Nur Azalea Zafirah, 6, kerana penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 5:56 PM