ASHIRA
ASHIRA
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Ashira Aziz disahkan positif Covid-19, semalam selepas membuat ujian di klinik kerana mengalami masalah pernafasan dan hidung tersumbat.

Ashira ketika dihubungi berkata, dia masih menunggu maklum balas daripada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya tak sihat sejak empat hari lalu, tapi baru semalam saya ke klinik kerana malam semalam saya susah nak bernafas dan hidung tersumbat.

"Saya sudah menghubungi CAC kerana pihak KKM belum hubungi saya. Disebabkan saya buat ujian di klinik swasta, jadi mereka lambat maklumkan. Sekarang, saya sedang menunggu maklum balas daripada CAC," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai keadaan kesihatannya ketika ini, Ashira mengakui masih lemah dan sukar untuk bercakap menerusi panggilan telefon.

"Minta maaf sebab tak boleh nak bercakap sebab terlalu lemah. Suara saya pun mula hilang sebab batuk dan sakit tekak.

"Badan saya masih dalam keadaan lemah. Saya dah dapat hampir semua gejala cuma deria rasa masih ada. Deria bau pun sudah mula berkurangan," katanya.

Pada masa sama, dia juga berdoa supaya suami, anak dan anak saudaranya tidak dijangkiti virus ini memandangkan mereka menetap dalam rumah sama dan menjadi kontak rapat.

"Bad (suami), anak saya dengan anak saudara tinggal serumah. Bad sudah dinasihatkan untuk buat ujian PCR semalam sebab dia berisiko tinggi, jadi sekarang dia masih menunggu keputusan ujian.

"Anak saya dan anak saudara pula, doktor nasihatkan untuk buat ujian calitan esok. Saya memohon kepada Allah supaya mereka tak dijangkiti," katanya.

Sebelum ini, Ashira berkongsi mengenai bapa dan ibu tirinya yang turut dijangkiti Covid-19.

"Mak Norma (ibu tiri) masih di hospital. Dia semakin okay tapi sakitnya datang dan pergi. Abah pula sedang menjalani kuarantin di rumah sendirian.

"Alhamdulillah, abah tak berdepan serangan gejala lain. Jadi, nanti abah saya perlu menjalani ujian kedua untuk lihat apa keputusan ujiannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 11:41 AM