Uyaina minta maaf.
Uyaina minta maaf.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad, 28, memohon maaf kerana terlepas pandang menggunakan lagu mengandungi lirik lucah dalam video yang dimuat naiknya di Instagram, baru-baru ini.

Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad merujuk kepada lagu nyanyian Busta Rhymes berjudul Touch It yang menjadi sohor kini dalam kalangan netizen.

Uyaina mengakui kesilapannya kerana tidak meneliti terlebih dulu lirik dalam bahasa Inggeris itu sewaktu menggunakannya dalam sebuah video itu sebelum ditegur mengenainya.

"Saya tidak sengaja menggunakan lagu itu untuk video saya di Instagram. Saya tak perasan lirik lagu itu. Apa-apa pun, saya minta maaf.

"Saya gunakan lagu itu sebagai muzik latar video berkenaan tanpa memahami lirik. Pertama kali dengar, betul-betul ingat ia bukan dalam bahasa Inggeris kerana sebutannya agak aneh," katanya.

Terdahulu, pelakon drama Love Elsa itu memuat naik mengenai kesilapan terbabit berserta lirik lagu berkenaan di Instagram.

Dia berbuat demikian untuk memberi kesedaran kepada ramai.

Tindakannya mendapat pujian netizen mengenai isu itu apatah lagi masih ramai tidak menyedari mengenai lirik berkenaan.

Uyaina turut berterima kasih dengan teguran diterimanya.

"Nasib baik ada rakan media yang mesej secara peribadi di Instagram beritahu makna di sebalik lirik lagu itu. Saya berterima kasih kepadanya kerana memberi teguran cepat.

"Kepada pengikut saya di Instagram, saya minta maaf. Harap kita semua belajar dari benda ini terutama untuk diri saya sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 4:10 PM