Aidit bersama isterinya, Nur Afiqah Hanani.
Aidit bersama isterinya, Nur Afiqah Hanani.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Meskipun baharu lebih tiga bulan menjalin hubungan serius, pelakon Aidit Noh, 28, tidak menunggu lama untuk memperisterikan wanita idamannya, dikenali Nur Afiqah Hanani Mohd Yani, 22, pada 29 Mei lalu.

Aidit atau nama sebenarnya Ahmad Aidit Noh, 28, bersyukur doanya di Jabal Rahmah, Mekah sudah dimakbulkan Allah apabila dipertemukan jodoh yang tepat buat dirinya.

Menurutnya mereka sepatutnya bernikah pada 5 Mac lalu di Terengganu, namun terpaksa mempercepatkan dan dibuat secara dalam talian (online) pada 29 Mei.

"Alhamdulillah, doa saya di Jabal Rahmah sewaktu ke Mekah pada awal tahun lalu termakbul untuk ditemukan jodoh. Saya sudah jumpa jodoh yang tepat dan buat apa nak tangguhkan perkahwinan itu.

"Walaupun cuma serius lebih tiga bulan, saya yakin dia yang terbaik untuk saya. Malah, saya juga memang lebih suka dengan konsep bercinta selepas kahwin.

"Cumanya, proses pernikahan kami agak mencabar sedikit di mana ia tidak berjalan seperti dirancang. Kami terpaksa bernikah secara online kerana mengejar tarikh yang kosong sebelum 'lockdown' dilaksanakan baru-baru ini," katanya.

Menurut pelakon Rindu Yang Terlarang itu, dia juga bersyukur sempat mengambil isterinya di Terengganu untuk dibawa ke Kuala Lumpur sebelum 'lockdown'. Katanya, mereka juga sempat mengambil gambar kahwin bersama sejurus itu.

"Mujur segalanya dipermudahkan dan isteri sempat saya bawa ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, sekarang kami dapat tinggal bersama," katanya.

Dalam pada itu, Aidit dan isterinya sedia untuk menimang zuriat bila-bila masa sekiranya sudah ada rezeki. Katanya lagi, dia juga mulanya agak risau jika isteri belum bersedia kerana masih terlalu awal.

"Mujur isteri saya cakap dia sudah sedia nak ada anak meskipun usianya masih muda. Apapun, kami tetap serahkan rezeki (zuriat) itu kepada Allah dan kalau cepat lagi bagus," katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 8:47 PM