Nubhan sekeluarga bersama ibunya, 'omak Jenny'.
Nubhan sekeluarga bersama ibunya, 'omak Jenny'.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Nubhan menerusi Instagram berkongsi berita duka mengenai ibunya yang cedera akibat terjatuh di bilik air. 

Dalam hantaran itu, Nubhan berkata insiden yang menimpa ibunya berlaku pada jam 2.30 pagi semalam dan hanya disedari oleh isterinya. 

"Jam 2.30 pagi, isteri saya jerit, 'Yang! Mak jatuh dalam bilik air!'  Saya terkejut dan terus berlari kepada mak. Ketika itu, mak dah mengensot ke pintu bilik air dan tak dapat bangun. 

"Hanya Allah yang tahu betapa risau dan takutnya saya kalau apa-apa terjadi kepada mak dengan usia yang dah 76 tahun," tulisnya. 

Namun begitu, Nubhan juga memaklumkan bahawa ibunya yang mesra disapa dengan panggilan 'Omak Jenny' hanya mengalami kecederaan di bahagian tangan. 

"Risau terhentak di pinggang atau kaki yang boleh menyebabkan mak tidak boleh berjalan. Syukur, hanya tangan. 

"Tangan mak sedikit retak. Tapi, alhamdulillah tak serius dan boleh sembuh dalam masa sebulan. Insya-Allah, mohon doakan mak saya cepat sembuh," tulisnya. 

Dalam hantaran sama, Nubhan turut berkongsi video keadaan ibunya ketika dibawa ke hospital. 

'Omak Jenny' tidak lagi asing buat peminat dan pengikut saluran YouTube Nubhan kerana dia kerap kali menampilkan ibunya dalam video-video yang dimuat naik. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 8:26 PM