NAM Ron (kanan) melakonkan watak Razak selaku watak utama.
NAM Ron (kanan) melakonkan watak Razak selaku watak utama.
Sudirman Mohd Tahir


Oscar Wilde seorang pengarang kelahiran Ireland terkenal dan antara naskhahnya yang cukup popular adalah The Importance Of Being Earnest dan pernah dipentaskan pada 1895 di St James's Theatre, London.

Ia adalah naskhah komedi yang cukup terkenal iaitu mengisahkan dua lelaki, John Worthing dan Algernon Moncrieff yang mempunyai identiti khayalan masing-masing.

Dilihat sebagai sebuah karya yang unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri ternyata memberi ilham kepada pengarah, Al Jafree Md Yusop untuk menghasilkan filem berjudul Mencari Rahmat yang juga inspirasi daripada naskhah terkenal Oscar Wilde itu.

"Sebenarnya keinginan untuk menghasilkan filem ini timbul selepas saya membaca karya Oscar Wilde itu pada 1981.

"Saya menganggap The Importance Of Being Earnest ini ternyata sangat menarik terutama sekali subjeknya sangat relevan dan begitu sesuai pada masa sekarang ini," katanya.

Mencari Rahmat menampilkan dua pelakon hebat tanah air selaku tunjang utama iaitu Nam Ron dan Amerul Affendi.

Selain itu, turut membintangi filem berkenaan ialah Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Azman Hassan dan Eric Fuzi.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan filem itu , Al Jafree berkata, antara cabaran yang dilaluinya apabila penghasilan skrip mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan.

"Proses penggambaran hanya mengambil masa 10 hari pada 2017 dan proses latihan bersama pelakon pula selama sebulan.

"Proses penghasilan skrip mengambil masa selama 10 tahun kerana kesukaran mengadaptasikan karya Oscar Wilde ini ke dalam bahasa Melayu," katanya.

DARI kiri: Nadia Aqilah, Amerul, Sharifah Amani dan Adibah Noor.
DARI kiri: Nadia Aqilah, Amerul, Sharifah Amani dan Adibah Noor.

PENAMPILAN Fauziah Nawi sebagai Mak Cik Normah.
PENAMPILAN Fauziah Nawi sebagai Mak Cik Normah.

Berkenaan pemilihan pelakon pula, menurut Al Jafree, mereka dipilih berdasarkan pengalaman yang luas dalam pentas teater.

"Watak dan lakonan dalam filem ini menuntut mereka mempunyai pengalaman teater kerana dialognya yang panjang dan cara 'blocking' filem ini diambil.

"Jadi, agak sukar untuk membariskan pelakon yang tiada pengalaman teater untuk membintangi filem ini," katanya.

Dalam pada itu, Al Jafree meletakkan harapan supaya filem sulungnya itu akan mendapat sambutan penonton.

"Kalau mengikut kepada sesi tayangan yang pernah dibuat sebelum ini pada 2018, ia mendapat sambutan baik di semua lokasi.

"Maka, sudah tentu saya berharap Mencari Rahmat ini turut mendapat yang sama apabila ditayangkan di pawagam nanti," katanya.

Sementara itu, Nam Ron berkata, dia tertarik untuk terbabit dalam filem ini kerana kelainan terhadap watak yang dibawakan serta jalan ceritanya yang menarik.

"Kelainan watak saya kali ini adalah ia sebuah filem yang bergerak atas persembahan, ia berteraskan kepada asas persembahan.

"Dalam filem ini, pelakon memainkan peranan sangat penting untuk menyampaikan jalan cerita kepada penonton," katanya.

Mengenai kerjasama dengan Al Jafree pula, Nam Ron melihat pengarah berkenaan sangat mementingkan lakonan mantap daripada pelakon supaya setiap watak itu dapat memberikan impak kepada penonton.

Filem Mencari Rahmat bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 10 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 6:46 AM