NORA Danish.
NORA Danish.
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Selepas disahkan positif Covid-19 baru-baru ini, pelakon Nora Danish, 39, bersyukur tahap kesihatannya okay dan tidak menunjukkan simptom kronik virus itu.

Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif yang kini menjalani kuarantin diri dalam bilik di kediamannya juga bersyukur anggota keluarga lain negatif virus berkenaan.

"Saya hanya perlu kuarantin di rumah saja disebabkan tidak menunjukkan simptom kronik tanpa perlu ke pusat kuarantin ditetapkan. Dalam rumah ada suami dan dua anak kami.

"Alhamdulillah ketiga-tiga mereka negatif Covid-19 sedangkan kami berpelukan, tidur sama, dan berciuman. Tapi itulah, pada akhirnya itu semua ketentuan Allah SWT.

"Saya sendiri sebagai pelakon memang kena keluar bekerja dan berjumpa ramai orang. Kebarangkalian kena virus ini sangatlah tinggi sampai kami (pelakon) terfikir untuk reda," katanya.

Nora juga bersyukur dirinya dijangkiti virus itu pada usia sekarang yang mana dia masih kuat untuk melawannya. Bagaimanapun, dia mahu tegaskan jangkitan virus itu bukannya perkara remeh.

"Saya mahu terus sedarkan orang ramai bahawa virus ini memang wujud. Sebelum ini saya tengok ramai yang kena, tapi kali ini saya sendiri kena.

"Saya dapat berasa betapa peritnya perkara ini, tak dapat jumpa keluarga meskipun dalam rumah sama. Sedih, tapi saya perlu positif untuk terus melawannya sekarang," katanya.

Terdahulu, Pada 9 Mei lalu, Nora berkongsi dirinya positif Covid-19 menerusi perkongsian hantaran di Instagram.

Dia membuat ujian calitan kerana mempunyai kontrak rapat dengan individu dalam kategori C.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 4:02 PM