RAJA Syahiran (kiri) dan Uyaina.
RAJA Syahiran (kiri) dan Uyaina.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Raja Syahiran ingin menamatkan zaman bujang dengan pasangannya, pengacara Uyaina Arshad secepat mungkin, namun perlu mempersiapkan diri terlebih dulu sebelum menggalas tanggungjawab sebagai suami.

Syahiran berkata, banyak faktor yang dilihatnya sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

"Perkahwinan bukan setakat majlis perkahwinan saja, tetapi kehidupan selepas bergelar suami juga adalah tanggungjawab besar. Ekonomi dalam situasi pandemik seperti sekarang sedikit sebanyak memang terjejas.

"Jadi, saya perlu menstabilkan dulu ekonomi saya kerana saya perlu memikirkan juga mengenai tanggungjawab dan tanggungan saya bukan saja sebagai suami, tetapi juga sebagai anak kepada ibu bapa saya. Jadi, saya nak siapkan fizikal, mental dan juga kewangan terlebih dahulu," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia dan Uyaina sudah menetapkan tarikh perkahwinan, Syahiran memilih untuk tidak mendedahkannya.

"Kami akan umumkan nanti. Kalau boleh, secepat mungkin dan kalau diizinkan dalam tahun ini, maka kami akan melangsungkannya tahun ini," katanya.

Syahiran juga cuba sebaik mungkin untuk tidak mengadakan majlis perkahwinan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana tidak mahu timbul isu-isu lain yang meragut kesucian perkahwinan.

"Kami nak perkahwinan kami diiringi doa yang baik-baik daripada orang ramai. Kalau boleh, kita lihat contoh perkahwinan selebriti yang berlaku dan mendapat pelbagai kecaman masyarakat.

"Jadi, kalau boleh saya tak mahu berlaku sebarang salah faham atau apa-apa isu selepas majlis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 3:52 PM