Kylie Jenner
Kylie Jenner
Agensi

Los Angeles: Gara-gara meminta derma daripada peminat, bintang realiti TV, Kylie Jenner, 24, dikritik warganet memandangkan dia sendiri adalah jutawan.

Jenner memohon peminat menderma bagi membiayai kos pembedahan otak untuk mekap artis, Samuel Rauda yang juga rakan baiknya menerusi saluran Go Fund Me.

Tindakannya itu dipersoalkan, selepas dia hanya menyalurkan RM20,600 dalam tabung berkenaan. Manakala, jumlah yang ingin dikumpul adalah RM41,160 dalam kempen terbabit.

Ketika menyalurkan derma peribadinya itu, tabung berkenaan sudah berjaya mengumpul RM24,700. Sekali gus, jumlah terkumpul sudah melepasi amaun asal yang disasarkan.

Bagaimanapun, Jenner tetap dikritik apabila tidak menyalurkan derma lebih untuk membantu Rauda. Menurut warganet, amaun derma yang diberikannya itu tidak setimpal dengan kekayaan dimilikinya.

"Mekap artis Kylie Jenner yang kemalangan jalan raya memerlukan RM247,000 untuk kos pembedahan otak dengan segera dan dia meminta derma dari peminat? Dan dia sendiri cuma derma RM20,600 padahal dia seorang jutawan?" itu antara komen warganet.

Kos sebenar pembedahan terbabit bagaimanapun tidak diketahui. 

Selain Jenner, beberapa artis lain tampil menyumbang derma kepada Rauda. Mereka termasuk Bella Throne yang menderma RM20,600, manakala derma daripada Sofia Richie dan Bebe Rexha tidak didedahkan.

Derma tertinggi disumbangkan seorang individu dikenali sebagai Mjay Al Thani iaitu RM49,400. 

Minggu lalu, berita kemalangan Rauda didedahkan seorang rakannya sebelum dikongsi pelakon Amelia Hamlin. Rauda dikatakan perlu bantuan untuk membiayai kos rawatannya yang dijangka berlanjutan dalam jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 10:42 AM