DEWI Perssik. FOTO IG
DEWI Perssik. FOTO IG
Agensi

Jakarta: Penyanyi dangdut sensasi Indonesia, Dewi Perssik dituduh sengaja tidak mahu hamil kerana bimbang bentuk badan berubah.

Perkara itu mula diperkatakan sejak dua perkahwinan terdahulu bersama Saipul Jamil dan Aldi Taher tidak dikurniakan cahaya mata.

Begitu juga perkahwinan ketiga dengan pengurusnya, Angga Wijaya, pada September 2017 belum lagi dikurniakan cahaya mata.

Selepas lama berdiam diri, Dewi Perssik muat naik hantaran di Instagram dengan menyatakan kekesalan terhadap tuduhan dilemparkan itu.

"Benarkah kudrat seorang wanita untuk melahirkan anak? Jadi, kalau wanita itu belum pernah melahirkan, itu bukan wanita ya?

"Adakah manusia dilahirkan cuma untuk berkembang biak seperti seekor binatang?

"Lebih teruk yang menuduh takut badan rosak datangnya daripada kaum wanita, yang sepatutnya membela sesama sendiri," katanya. 

Menurut Dewi, kaum wanita seharusnya memberikan sokongan antara satu sama lain dan bukan mengata di belakang.

Malah, Dewi menjelaskan bukan mudah untuk mempunyai anak kerana ia menuntut tanggungjawab yang besar.

"Mempunyai anak itu bukan semudah yang difikirkan, berat bagi yang mengerti. Dan anak itu amanah, bukan mainan.

"Zaman semakin maju, tapi banyak orang yang mindanya masih ke belakang," katanya.

Hantaran Dewi itu turut mendapat sokongan daripada warganet yang senasib dengannya.

Kebanyakannya mengakui penat apabila sering ditanyakan mengenai cahaya mata walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan untuk hamil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 10:14 AM