HAFIZ HAMIDUN
HAFIZ HAMIDUN
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Maaf, andai kau terluka, maaf ku tak sengaja tanpa sedar, sakitimu, sesal ku."

Itu bait lirik lagu Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali yang diulang komposer dan penyanyi, Hafiz Hamidun sebagai tanda memohon maaf atas ciapan di Twitter, semalam.

Ia susulan ciapan Hafiz berbunyi 'Peluang kedua adalah peluang yang paling teruk jika ia dibazirkan. Dan ia baru saja dibazirkan' menjadi tular dan turut mendapat kecaman dalam kalangan warganet.

Hafiz, 37, ketika dihubungi berkata, ciapan itu tidak bermaksud untuk menghina dan mengecam malah jauh sekali bersifat serangan peribadi.

"Apabila ciapan itu 'trending' saya sudah macam sebahagian dari AJL35. Ciapan itu adalah kiasan, saya tak kutuk pun. Kalau nak tahu saya peminat lagu itu. Saya juga kenal Nabila dan pengurusnya dan saya harapkan yang terbaik untuk lagu dan persembahan semalam.

"Saya tak ada serangan peribadi. Malah, ciapan itu secara umumnya rugilah, peluang ada, tapi tidak digunakan. Tapi saya puji sebab dia teruskan persembahan. Tentu saya harapkan dia buat persembahan terbaik dan lagu itu menang.

"Saya bukan kecam. Saya pilih bahasa kiasan. Tapi, jika ada yang terasa dengan ciapan itu, saya minta maaf. Mungkin kita berbeza pandangan, tapi tak perlulah kutuk saya. Ciapan saya pun bukan bernada mengeji," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Hafiz mengambil pendekatan memadam ciapan itu.

"Saya padam sebab tengok ada yang ke arah lain dan sudah menjadi negatif sangat.Saya tak cakap pasal nyanyian pun, tapi apabila ada pihak lain yang memuat naik semula ciapan itu, terpulang lah. Nak buat macam mana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 3:10 PM